PRK: PH menang besar di parlimen Pulai, pertahan Dun Simpang Jeram dengan majoriti selesa

PRK: PH menang besar di parlimen Pulai, pertahan Dun Simpang Jeram dengan majoriti selesa

 

Legasi dan amanah ditinggalkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berjaya diteruskan calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman apabila memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih besar iaitu 3,514 undi.

Formula Kerajaan Perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN) menunjukkan keputusan positif di Johor yang mana Nazri berjaya memperoleh 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri Yahya.

Keputusan rasmi kemenangan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

Mohd. Mazri mendapat 10,330 undi manakala calon Bebas, S. Jeganathan hilang wang deposit apabila hanya memperoleh 311 undi.

Jamil Hasni memaklumkan bahawa peratusan keluar mengundi di Simpang Jeram adalah sebanyak 60.82 peratus. Jumlah pengundi di kerusi berkenaan seramai 40,301 orang.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, Salahuddin menang di Simpang Jeram dengan majoriti 2,399 undi buat kali kedua.

Beliau mendapat 8,749 undi menewaskan calon BN, Datuk Lokman Md. Dun (6,062); calon PN, Zarul Salleh (6,350) dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahaizal Mahmor (208).