PRN Johor, Anwar berkeras mahu PH gunakan logo PKR

PRN Johor, Anwar berkeras mahu PH gunakan logo PKR

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini kembali membangkitkan isu berkaitan penggunaan logo Pakatan Harapan (PH) berdepan Pilihanraya Negeri Johor akan datang.

Dia berkata PKR akan berbincang sama ada bertanding bawah logo PH seperti di Melaka atau menggunakan bendera PKR, seperti dilakukan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“(Berkenaan) Logo kita juga ada zahirkan tadi bahawa selepas pengalaman di Melaka, akar umbi PKR kuat untuk logo PKR digunakan sekali lagi.

“Jadi, sekarang ini pandangan kawan-kawan lain merasakan lebih sesuai PH (logo), kita akan muktamadkan dalam dua hari,” katanya, swperti dilaporkan portal FMT.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) Johor diberi kuasa menentukan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN), katanya lagi.

Ia termasuk tiga kerusi dikuasai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Amanah, yang meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR, pada Mac lalu.

Menurutnya lagi, PH berhasrat bekerjasama dengan semua parti pembangkang pada PRN berkenaan, membabitkan Pejuang, Warisan dan MUDA.

“Kalau ada sikit-sikit peretakan ini tak akan membantu, jadi kita perlu ada satu tindakan dan strategi untuk memastikan kerajaan Umno dan BN ini dikalahkan, bermula di Johor.

“Kita merangkul semua pembangkang Pejuang, Warisan, MUDA, persatuan dan NGO yang mahu memastikan ada perubahan dalam negara ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan PH di Ibu Pejabat PKR.

Sabtu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pembubaran DUN selepas menerima menghadap Menteri Besar Hasni Mohammad, di Istana Bukit Serene.

PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN, bermaksud yang akan datang mungkin diadakan pada atau sebelum 23 Mac.

Hari ini, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataannya, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Feb ini.

Katanya, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh penting seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi menghadapi PRN berkenaan.