PRN Johor, Pas pilih tinggalkan PN demi sebuah kemenangan

PRN Johor, Pas pilih tinggalkan PN demi sebuah kemenangan

Pas bersedia tinggalkan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) Johor yang dijangka akan diadakan dalam tempoh sebulan ini.

Menurut Astro Awani, bayangan itu diluahkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini selepas desas desus pembubaran DUN Johor semakin kuat diperkatakan susulan pengumuman satu sidang media khas akan diadakan MB Johor hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat.

“Kita tunggu dululah PRN Johor jadi atau tidak, kalau jadi kita akan adakan perbincangan dengan UMNO. Komitmen kita sebenarnya dengan UMNO dan lain-lain parti masih lagi berjalan dan kita harapkan mampu mengadakan kerjasama yang baik dalam konteks politik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Malaysia Recyling Alliance (MAREA) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air memaklumkan jika ditakdirkan PRN Johor diadakan Pas sentiasa bersedia untuk ‘masuk’  bertanding.

Ditanya mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), beliau menegaskan ia masih berjalan dan tiada istilah terbubar lagi.

Menurutnya, jika PRN Johor diadakan maka rakyat bakal menyaksikan satu lagi PRN yang berasingan daripada kerajaan Persekutuan pada masa-masa yang akan datang.

Pada PRN Melaka pada November lalu, Pas tewas di semua lapan kerusi, tujuh daripadanya kepada UMNO, sekali gus mengundang spekulasi mengenai masa depan gandingannya dengan Bersatu bawah payung Perikatan Nasional (PN).