PRN Melaka, pakar undang-undang saran UMNO jangan berlindung disebalik darurat
Seorang peguam tidak bersetuju dengan pendirian Bersih 2.0 bahawa pilihan raya tidak sesuai diadakan semasa wabak, dengan berkata, pandangan sedemikian membawa kesan buruk kepada demokrasi.
Philip Koh, seorang profesor adjung di Universiti Malaya (UM), berkata tadbir urus demokratik tidak patut terhenti disebabkan Covid-19.
“Ini bermaksud kerajaan dapat kekal berkuasa buat tempoh yang lama, terutamanya jika keadaan darurat diisytihar. Ini tak boleh diterima,” katanya kepada FMT.
Pada Selasa, susulan gesaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar pilihan raya kilat diadakan selepas kejatuhan kerajaan Melaka, Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata, pilihan raya harus menjadi pilihan terakhir, memandangkan Covid-19 masih menjadi ancaman, dan Undi 18 serta pendaftaran automatik pengundi masih belum dilaksanakan.
Koh berkata, situasi telah berubah sejak pilihan raya negeri (PRN) Sabah, yang dipersalahkan atas lonjakan kes Covid-19.
Dengan vaksinasi yang dimandatkan dan prosedur operasi standard (SOP) yang tepat, katanya, kini tiada lagi alasan untuk menolak seruan untuk mengadakan pilihan raya.
Setakat semalam, 89.4% golongan dewasa dan 64.6% keseluruhan populasi Malaysia telah lengkap vaksinasi.
Hujah Undi 18 “tidak wajar”, kata Koh.
Pilihan raya, katanya, wajib diadakan apabila peruntukan perlembagaan ditepati; dalam hal ini, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Beliau berkata, pilihan raya tidak boleh ditunda disebabkan “kejadian tidak lazim” seperti Undi 18 atau pendaftaran automatik pengundi.
Satu-satunya pengecualian, katanya, adalah keadaan darurat dalam keadaan “benar-benar luar biasa”.
“Pilihan raya tidak boleh tidak diadakan. Jika (ia tidak diadakan), ini menjadi penyelewengan bagi Perlembagaan dan mengancam demokrasi,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib bersetuju bahawa demokrasi tidak patut ditangguhkan.
Katanya, SOP telah ditetapkan dan wujud disiplin untuk mematuhinya, serta populasi yang telah divaksinasi.
Bagaimanapun, beliau menyebut kegagalan masyarakat dan pihak berkuasa mematuhi SOP semasa PRN Sabah.
“Ini menunjukkan kita tidak dapat mengadakan pilihan raya dengan selamat semasa wabak,” katanya.
“Namun saya setuju, kita tidak boleh guna wabak sebagai alasan untuk menangguhkan demokrasi.”
Sumber – FMT