PRN Sabah : Warisan Plus lebih stabil, raih keyakinan rakyat Sabah

PRN Sabah : Warisan Plus lebih stabil, raih keyakinan rakyat Sabah

SELEPAS melalui beberapa konflik politik, kira-kira 1.12 juta rakyat Sabah akan sekali lagi membuat penentuan parti mana yang dipilih sebagai kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, seramai 447 calon daripada 15 parti termasuk Bebas disahkan bertanding sekali gus mengisytiharkan gelanggang pertandingan dibuka secara rasmi.

Tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan gabungan baharu yang bakal dibentuk iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melawan Warisan Plus.

GRS disertai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), manakala Warisan Plus meliputi Parti Warisan Sabah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Pemerhati politik berpandangan, kedua-dua gabungan terbesar itu mempunyai peluang yang sama rata untuk memenangi PRN Sabah berdasarkan kredibiliti calon mereka.

Bagaimanapun, peluang GRS yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tersasar sekiranya konflik dalaman antara parti komponen tidak ditangani segera.

Penganalisis politik daripada Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, perkara itu ketara apabila terdapat parti dalam gabungan tersebut meletakkan calon mereka meskipun GRS telah memutuskan calon yang lain.

“Saya tengok kedua-dua (GRS dan Warisan Plus) ada peluang berdasarkan kepada pemerhatian setakat ini.

“Cuma bagi saya, peluang untuk GRS menang bergantung kepada bagaimana mereka berupaya mengurangkan konflik sesama parti.

“Keupayaan GRS untuk menang adalah bergantung kepada sejauh mana mereka boleh menyatupadukan jentera pilihan raya bagi memastikan bahawa tidak ada usaha konflik, tidak ada usaha sabotaj antara parti.

“Warisan Plus juga ada kemelut, sebagai contoh membabitkan PKR. Namun konflik yang berlaku tidak begitu ketara seperti mana yang berlaku dalam GRS,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Katanya, konflik dalaman membabitkan UMNO juga perlu dilihat serius supaya tidak wujud unsur sabotaj yang merugikan semua pihak.

“Kalau kita lihat, terdapat beberapa calon yang dipilih UMNO bukan kehendak akar umbi dan ini pastinya akan mendatangkan kemarahan pengundi apabila calon yang dikehendaki mereka tidak terpilih.

Kelebihan

Pandangan sama turut dikongsi Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis.

Menurut Mujibu, secara asasnya kedua-dua parti terbesar itu mempunyai peluang yang seimbang dalam aspek calon.

Beliau bagaimanapun berkata, di atas kertas, Warisan Plus ada kelebihan apabila dilihat tidak mempunyai masalah dari sudut komitmen untuk kompromi meletakkan calon berbanding GRS khususnya UMNO.

Selain itu, katanya, tindakan Muhyiddin memberi bayangan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah sekiranya GRS memenangi PRN kali ini menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan pemimpin BN.

“Masalah terbesar PN adalah apabila Muhyiddin secara unilateral mengumumkan calon Ketua Menteri ialah Hajiji.

“Barangkali ia tidak menimbulkan masalah sangat kalau diumumkan lebih awal supaya semua komponen parti lebih bersedia khususnya dalam memberi kefahaman kepada penyokong bawahan mereka.

“Di pihak Warisan Plus tiada masalah (untuk tentukan Ketua Menteri) dan kalau kita kira, ini sebagai ukuran, Warisan Plus sudah menang 1-0 (dengan GRS),” katanya.

Mujibu berkata, pertandingan yang menyaksikan penjuru yang begitu banyak juga akan menyebabkan berlaku pecahan undi ketara.

“Politik Sabah ini begitu dinamik dan tidak sama seperti di Semenanjung Malaysia. Malah, rekod sebelum ini menunjukkan ada calon Bebas yang menang dalam saingan kerusi yang ditandingi mereka.

“Apa yang menjadi kebimbangan ialah mungkin sukar untuk parti yang menang mendapatkan majoriti besar kerana berlaku pecahan undi ketara,” katanya.

Sumber : Sinar Harian