PRN2023: Radhi ada peluang cerah di Alor Mengkudu, Baddrol pula tempuh laluan berliku di Gurun

PRN2023: Radhi ada peluang cerah di Alor Mengkudu, Baddrol pula tempuh laluan berliku di Gurun

 

LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan Radhi Mat Din lebih berpeluang cerah untuk memenangi pertandingan kerusi Alor Mengkudu berbanding Baddrol Bakhtiar di Gurun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 di Kedah, 12 Ogos ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah 1995-1999 ini berkata, Radhi mempunyai pengalaman dan sudah arif dalam selok-belok politik dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diwakilinya sejak bertanding kali pertama pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Radhi kalah kepada Datuk Mahfuz Omar (dalam PRU Parlimen Pokok Sena) tetapi mungkin dia sudah banyak belajar asas-asas politik dalam empat lima tahun ini. Peluang dia menang mungkin cerah tetapi Baddrol (rakannya dalam PAS/Perikatan Nasional – PN) berat sedikit.

“Baddrol baru sahaja berhenti sebagai pemain bola sepak profesional (kali terakhir bersama Sabah FC menentang Sri Pahang FC pada 15 Julai lalu). Saya tengok apabila ditemu bual media fasal bola sepak pun, dia kurang petah bercakap.

“Kehidupan seorang ahli politik ini, 30 atau 40 peratusnya kena bercakap,” kata Jamal, bek kanan skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 dan pusingan akhir Piala Asia 1980 di Kuwait selain pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979, kepada BebasNews, hari ini

Berkongsi pengalaman beralih dari gelanggang bola sepak ke arena politik kata pemenang Piala Malaysia 1983 dengan Pahang ini, “saya pun ambil masa enam tahun selepas bersara sebagai pemain untuk mengenali sepak terajang politik.

“Bermula dengan Ketua Pemuda (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) UMNO Bahagian, saya turun padang, belajar selok-belok politik dari akar umbi sebab bagi saya, populariti sebagai pemain bola sepak hanyalah 10 peratus, selebihnya ialah gerak kerja anda selaku calon,” katanya.

Radhi terkenal sebagai anggota skuad Kedah juara Piala Malaysia 1990 dan 1993 selain mengalungi Malaysia pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 manakala Baddrol menjulang trofi sama pada 2007, 2008 dan 2016 serta menganggotai skuad Bawah 23 tahun pemenang pingat emas temasya dwitahunan itu, 2009 dan 2011.

‘Rematch’ Radhi-Mahfuz satu lawan satu bagi kerusi N.14 kali ini pasti lebih menarik setelah majoriti 5,558 undi menyebelahi Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu di P.8 Pokok Sena, lima tahun lalu.

Laluan berliku pula menanti Baddrol kerana berdepan Firdaus Johari, anak penyandang kerusi N.22 Gurun yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR/Pakatan Harapan – PH) juga secara satu lawan satu.

Kata Jamal, tidak semestinya angka kehadiran penyokong yang digembar-gemburkan sebagai begitu besar pada hari penamaan calon semalam menggambarkan angka majoriti undi yang akan menyebelahi mereka.

“Yang datang beramai-ramai itu memang penyokong tegar parti dan bakal pengundi setia calon tersebut, itu hanyalah mewakili 30 peratus dalam PRN nanti. Ini jugalah angka yang bakal datang masa ceramah kempen calon itu.

“Yang sukar untuk dimenangi sokongan mereka ialah pengundi atas pagar dalam 70 peratus di sesebuah kawasan. Mereka ini tidak gemar datang tengok ceramah kempen tetapi selalunya menilai dan menunggu sehari  dua sebelum hari mengundi, barulah memilih calonnya,” katanya.

Mewakili Barisan Nasional (BN), Jamal yang mengalahkan calon PAS, Raja Puji Tengku Abdul Hamid dengan majoriti 3,960 undi, walau bagaimanapun menyangkal andaian sama ada tuah turut menyebelahinya pada percubaan pertama menyertai PRU 1995 itu.

Tidak seperti bekas rakan sepasukan lebih senior malah menikmati Olimpik Munich 1972, ‘Tauke’ Datuk Soh Chin Aun juga calon BN/Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang ditewaskan Lim Guan Eng (Parti Tindakan Demokratik – DAP) dengan kelebihan 17,606 undi di Parlimen Kota Melaka dalam PRU 1986.