Program bersama Najib punca 7 pelajar UiTM positif Covid

Program bersama Najib punca 7 pelajar UiTM positif Covid

UiTM dibidas kerana membenarkan pelajarnya menjadi ‘keldai tunggangan’ BN selepas tersebar dakwaan pelajarnya dijangkiti Covid-19 sejurus pulang daripada program bersama Najib dan calon BN PRN Melaka.

Menurut Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman, ujian saringan diambil terhadap tujuh pelajar yang didakwa positif Covid-19 selepas menghadiri program tersebut.

“Semalam (kelmarin) dimakumkan ada tujuh orang simptomatik. Keputusan saliva mendapati seorang pelajar positif,” katanya seperti dipetik dari laporan portal akhbar MalaysiaNow.

Sebelum ini tersebar di media sosial dakwaan tujuh orang pelajar UiTM didapati positif Covid-19 selepas pulang daripada sebuah program dianjurkan BN Melaka pada 4 hingga 7 November.

“Semua pelajar tersebut pulang ke kampus pada 7 hari bulan lepas tamat program di Villa D Aqua, Masjid Tanah, Melaka,” menurut posting yang tersebar di media sosial itu yang turut melampirkan gambar-gambar program tersebut.

“Bila pulang ke kampus, daripada berpuluh pelajar, tujuh didapati positif Covid-19.”

Menurut posting itu, keesokan harinya pada 8 November penyokong-penyokong BN berkumpul di villa tersebut bersarapan pagi sebelum pergi ke pusat penamaan calon untuk mengiringi pengerusi Melaka, Ab Rauf Yusoh.