Program vaksinasi pekerja kilang bermula, rakyat di arah bersedia menunggu lebih lama untuk disuntik

Program vaksinasi pekerja kilang bermula, rakyat di arah bersedia menunggu lebih lama untuk disuntik

Seramai 300 daripada 2,371 pekerja syarikat perkilangan Texas Instruments menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali berkata, ia menjadi permulaan bagi pemberian vaksin membabitkan sektor perkilangan.

“Melihatkan kemudahan yang mampu disediakan di syarikat ini, kadar suntikan boleh dibuat 600 sehari tertakluk kepada bekalan vaksin,” katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran PIKAS oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Azmin berkata, program pemberian vaksin di lapangan kawasan perkilangan menerusi PIKAS akan diteruskan di Bukit Jawi Golf Resort, Pulau Pinang esok, melibatkan kira-kira 16,402 pekerja dari 21 kilang.

Pada Jumaat, program itu akan diteruskan membabitkan 5,123 pekerja Petronas di Pengerang, Johor.

Azmin berkata, menerusi fasa satu PIKAS, 150,000 dos vaksin diperuntukkan dengan mengutamakan sub sektor pembuatan kritikal.

Katanya, dua pendekatan yang akan digunakan, pertama suntikan akan dibuat di kawasan perkilangan yang mempunyai lebih 1,000 pekerja.

Selain itu, syarikat yang mempunyai jumlah pekerja kurang daripada 1,000 suntikan akan dibuat di pusat pemberian vaksin (PPV).

Katanya, MITI mewujudkan enam PPV di bawah PIKAS untuk syarikat yang mempunyai kurang 1,000 pekerja.

“Menteri KKM dan MOSTI memaklumkan kita akan menerima lebih banyak bekalan vaksin pada Julai dan kita pasti akan menyediakan kemudahan yang lebih baik bersama dengan lebih banyak PPV dalam beberapa bulan akan datang,” katanya sambil memaklumkan suntikan vaksin itu diberi percuma kepada pekerja.

Katanya, sehingga kini sebanyak 500 syarikat dengan 106,000 pekerja memohon untuk menyertai PIKAS.

Azmin turut memaklumkan kementeriannya menyasarkan semua pekerja sektor pembuatan seramai 2.25 juta dapat diberikan suntikan vaksin Covid-19 secara berfasa.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/16/program-pemberian-vaksin-di-kilang-bermula-hari-ini/