Projek mega gagal di Kedah: Sanusi akhirnya jawab dakwaan

Projek mega gagal di Kedah: Sanusi akhirnya jawab dakwaan

 

Beberapa projek mega yang diumumkan kerajaan Kedah sebelum ini bukan dibatalkan, sebaliknya syarikat pelaburan swasta sebagai pelaksana berdepan kekangan dalam perniagaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md nor berkata, projek Widad Langkasuka dan litar lumba di Langkawi, pembinaan litar lumba antarabangsa dan stadium di Sungai Petani merupakan pelaburan syarikat swasta, bukannya kerajaan negeri seperti didakwa segelintir pihak.

Menurutnya, kesemua projek berkenaan bukan gagal dilaksanakan, sebaliknya kemajuan sedikit perlahan disebabkan komitmen syarikat terlibat yang perlu mengutamakan kos operasi syarikat masing-masing.

“Sektor swasta bergantung kepada perniagaan, ramai yang tak faham tentang ini, orang anggap apabila umum projek mesti jadi. Projek yang kita maklum sebelum ini, adalah perancangan swasta.

“Syarikat swasta berhasrat bangunkan projek tersebut, kita umumlah. Tidak merugikan duit kerajaan pun, saya jaga amanah kerajaan, bukan jaga syarikat swasta. Kalau pertimbangan syarikat itu ada kekangan, mereka tangguh atau pilih secara berfasa, itu hak mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, beliau tampil memperjelaskan situasi berkenaan kerana terdapat segelintir pihak membuat tuduhan terhadap kerajaan negeri gagal menyiapkan projek berkenaan, yang mana ia tidak tepat.

“Ada pihak tak pandai memandang perkara baik. Hanya mencari perkara buruk, apa yang mereka cari, yang itu mereka dapat.

“Kerajaan negeri pun berhati-hati supaya tidak terbabit dengan projek-projek yang boleh menjadi ‘gajah putih’. Kita sangat berhati-hati dengan duit pembayar cukai, apatah lagi orang dalam perniagaan, kalau rugi kena keluar modal sekali lagi. Ia tidak bagus untuk pertimbangan perniagaan.

“Ada pihak tak faham kata semua itu projek kerajaan negeri sedangkan ia dilaksanakan pihak swasta,” katanya.

Sanusi jelaskan, projek Widad Langkasuka merupakan sebuah pelaburan besar di Langkawi dan kini dalam fasa pertama pembangunan.

“Syarikat Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) mahu kembangkan perniagaan mereka di Langkawi, projek tersebut dilancarkan di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri pada ketika itu. Tak kan kita tak boleh umum.

“Pelaburan swasta bergantung kepada keadaan pasaran. Apabila tangguh, tak kan kita salah?,” soalnya.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan mengambil masa untuk kelulusan kebenaran merancang (KM) kerana melibatkan keluasan besar.

“Fasa pertama sedang berjalan. Tapi ada pihak kecam kerajaan negeri dakwa projek itu tak berjalan, saya ingat dia buta, kalau pergi Langkawi, projek itu memang sedang dibangunkan,” jelasnya.

Projek Widad@Langkasuka dilancarkan pada 2021 dan dijangka disiapkan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.

Projek bernilai RM40 bilion ini merangkumi hotel dan resort bertaraf lima dan enam bintang, padang golf antarabangsa bersebelahan Marina Yacht Club, kompleks pejabat dan perniagaan antarabangsa, pusat membeli belah, institusi pengajian tinggi, kemudahan penjagaan kesihatan serta kediaman mewah.

Sanusi memaklumkan, sementara Kumpulan Open Road World dengan kerjasama Permodalan Kedah Berhad (PKB) berhasrat membina litar lumba antarabangsa di Sungai Petani dan Langkawi.

“Syarikat tersebut berdepan kekangan, saya dimaklumkan mereka ada terlibat dengan sebuah syarikat lain dalam projek itu, namun tak memenuhi persetujuan dan berdepan kes saman, jadi sangkut sebab tanah ada milik PKB dan tanah kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, projek litar lumba di Sungai Petani pula perlu diubah suai pelan perancangan berikutan kos meningkat.

“Kita kena ubah model kerana peruntukan RM30 juta yang diterima tak cukup. Lepas ubah pelan asal, perlukan RM73 juta, jadi kena ada pelaburan swasta. Tetapi syarikat itu alami perniagaan yang tidak memberangsangkan, jadi ada sekatan sedikit dan turut mempengaruhi keputusan kita,” jelasnya.

Tambah Muhammad Sanusi, sementera pembinaan stadium baharu di Sungai Petani, diumumkan pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas melawat stadium JDTs, dan seterusnya melantik konsultan untuk merancang pembinaannya.

“Saya tidak pernah rugikan sesen pun duit kerajaan. Kalau pertimbangan syarikat itu untuk tidak mampu meneruskan, itu pertimbangan mereka sebab projek mereka, bukan kerajaan negeri,” jelasnya.