Projek rintis modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi hanya untuk pelajar Islam – PM

Projek rintis modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi hanya untuk pelajar Islam – PM

 

Perdana Menteri menjelaskan projek rintis modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi disasarkan khusus untuk golongan muda Islam, dan tiada sebarang paksaan kepada pelajar bukan Islam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha itu dapat membolehkan golongan terbabit mendalami Islam bersandarkan Al-Quran dan hadis, serta kupasan ulama muktabar.

“Untuk orang Islam terutama anak muda Islam itu penting menguasai memahami Islam. Jadi jangan lah salah faham kerana kita bukan paksa bukan Islam pertamanya, yang keduanya kalau ilmu itu yang ada sekarang jadi orang maki hamun cerca fitnah dianggap sebahagian daripada islam,” katanya.

Perdana Menteri berharap tiada sebarang kecurigaan terhadap sistem pendidikan dengan penjelasan itu.

Modul penghayatan hadis itu juga adalah jalan tengah untuk memberi kefahaman kepada orang Islam, tanpa paksaan kepada sesiapa.

Ujarnya, ia susulan ada pihak yang tidak gemar Islam diajar di sekolah, manakala ada pihak lain menggunakan Islam dengan tidak bersandarkan ilmu.

Program rintis itu melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 sekolah menengah kebangsaan agama dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan seluruh negara.

Ia dibantah segelintir pihak atas alasan tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan modul itu diajar di sekolah kerajaan.

Anwar ditemui selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Johor di Iskandar Puteri.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.