Proklamasi Darurat: Bekas pemimpin UMNO tuduh Peguam Negara gagal laksana tanggungjawab
Bekas Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, menuduh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun gagal melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional serta amanah melibatkan proklamasi darurat.
Dakwanya, Idrus sepatutnya menasihati Perdana Menteri untuk memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa semasa permohonan proklamasi darurat dibuat, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak mempunyai keabsahan bagi menasihati atau memohon perkenan baginda bagi pengisytiharan darurat.
“Peguam Negara telah mengiringi Perdana Menteri yang tiada ‘keabsahan’ pada 11 Januari 2021 bagi tujuan memohon perkenan KDYMM Agong untuk proklamasi darurat adalah satu tindakan yang tidak sah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.
“Setakat pada tarikh 11 januari 2021 ia adalah terzahir secara ‘prima facie’ sebagai Peguam Negara Malaysia bahawa Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sudah tidak mempunyai majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri di bawah Peruntukan 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” dakwanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal. – AA