Proklamasi Darurat: Kes saman bekas pemimpin UMNO terhadap PM ditetapkan 19 Februari

Proklamasi Darurat: Kes saman bekas pemimpin UMNO terhadap PM ditetapkan 19 Februari

Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Feb untuk pengurusan kes saman difailkan bekas pemimpin Umno, Khairuddin Abu Hassan, terhadap Muhyiddin Yassin, yang mendakwa perdana menteri tidak mempunyai keabsahan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

Peguam Khairuddin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata perkara itu akan didengar di hadapan hakim Mariana Yahya.

“Kami dimaklumkan mengenai tarikh pengurusan kes semalam ketika pihak pendaftar mahkamah mengirimkan salinan termeterai dokumen perundangan yang difailkan sebelum ini,” katanya.

Rafique berkata firmanya akan menyerahkan salinan dokumen-dokumen berkenaan kepada Muhyiddin dan Jabatan Peguam Negara hari ini.

Dalam saman pemulanya difailkan pada 18 Jan, Khairuddin mengemukakan persoalan undang-undang yang harus dijawab oleh mahkamah, sama ada Muhyiddin, yang menurutnya kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, masih boleh menasihati Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengisytiharkan darurat.

Khairuddin, dalam afidavitnya, berkata Ahli Parlimen Machang dari Umno, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin pada 9 Jan.

“Akibatnya, Muhyiddin hanya mendapat sokongan 110 Ahli Parlimen daripada jumlah 220 Ahli Parlimen.

“Muhyiddin memerlukan sokongan minimum daripada 111 Ahli Parlimen untuk memiliki majoriti di Dewan Rakyat,” tambahnya, sambil menyatakan dua kerusi dikosongkan selepas kematian Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong.

Pada 12 Jan, Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Istana Negara kemudian berkata, Agong bertemu Muhyiddin pada 11 Jan dan bersetuju supaya darurat hingga 1 Ogos atau tarikh yang lebih awal jika kes Covid-19 berkurangan dan stabil.

Khairuddin mengemukakan persoalan undang-undang yang harus ditentukan oleh mahkamah – sama ada nasihat mengenai pengisytiharan darurat oleh seorang perdana menteri yang tidak memiliki majoriti di Dewan Rakyat dianggap tidak berperlembagaan, dan sama ada penggantungan Dewan Rakyat dan Dewan Negara hingga 1 Ogos oleh perdana menteri batal dan tidak sah.

“Saya percaya bahawa tindakan perdana menteri menggantung Parlimen adalah usaha untuk mengatasi Artikel 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel itu menyatakan, seorang perdana menteri yang tidak lagi mendapat keyakinan majoriti boleh meminta Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat; jika gagal, dia harus mengundurkan diri dan Kabinetnya.

“‘Krisis perlembagaan’ ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, di mana seorang perdana menteri yang kehilangan sokongan majoriti boleh memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat,” kata Khairuddin. – FMT