Proklamasi Darurat: PH gesa Muhyiddin tidak berselindung di sebalik Covid-19

Proklamasi Darurat: PH gesa Muhyiddin tidak berselindung di sebalik Covid-19

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menolak rasional Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden berkata, undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini.

Menurut kenyataan

itu lagi, tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen, termasuk Machang (Datuk Ahmad Jazlan Yaakub) dan Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz), menunjukkan langkah itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Majlis Presiden turut menimbulkan kerisauan bahawa perisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur, dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat.

“Jangan berselindung di sebalik COVID-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” menurutnya lagi.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Berkenaan isu pilihan raya, mereka berkata, Majlis Presiden melihat tindakan yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah memadai.

“Bagi Pilihanraya Negeri Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihanraya Umum ke-15 pula hanya perlu diadakan menjelang 2023. Oleh itu, alasan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali.

“Malah kami melihat tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.

Mereka mendakwa, kuasa darurat itu bermakna ia memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/proklamasi-darurat-ph-tolak-rasional-muhyiddin-gesa-jangan-sembunyi-di-belakang-covid19-277373

COMMENTS