Proksi Hadi sahkan Mat Yaakob dan Nik Amar akan digugur sebaik menang PRN

Proksi Hadi sahkan Mat Yaakob dan Nik Amar akan digugur sebaik menang PRN

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah akan digantikan dengan kepimpinan baharu sekiranya Pas berjaya mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN), 12 ogos ini.

Memetik Sinar Harian, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula akan dikekalkan jika terus mendapat mandat rakyat serta perkenan sultan kedua-dua negeri.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 10 Ogos lalu di Rusila, Terengganu.

Katanya, Pas mencadangkan tawaran kepimpinan kerajaan negeri di bawah pentadbiran parti itu dan Perikatan Nasional (PN) bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Yang pertama adalah mengekalkan Menteri Besar bagi Terengganu dan Kedah, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan sultan kedua-dua negeri.

“Di Kelantan akan berlaku perubahan gabungan Menteri Besar dan timbalannya sekarang dengan mengemukakan ‘gabungan’ kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan teknokrat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sabtu ini adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan, selain Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Secara keseluruhannya seramai 9,674,456 orang pengundi bakal mengundi di PRN dan bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 orang pengundi.

Takiyuddin turut menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada 12 Ogos 2023, dengan memilih pemimpin yang prihatin, bersih dan berkebajikan dari Pas dan PN.

“Diharapkan proses pilihan raya di enam negeri ini berjalan dengan aman dan lancar,” jelasnya.