Protes konsert artis, Nabila Huda kecewa sikap kurang matang Pemuda Pas

Protes konsert artis, Nabila Huda kecewa sikap kurang matang Pemuda Pas

PELAKON dan pengacara Nabila Huda berpendapat cadangan untuk mengadakan protes terhadap penganjuran konsert penyanyi antarabangsa di negara ini sebagai tidak matang.

Memetik sumber dari Mstar, Nabila atau Nur Nabila Huda Suhaimi, 38, sebaliknya berkata, masih terdapat banyak perkara lebih utama melibatkan negara yang perlu diberikan perhatian berbanding penganjuran konsert.

“Kena batal konsert antarabangsa kalau tidak mahu protes? Sungguh? Banyak benda yang perlu diberi perhatian untuk negara kita, itu yang diberi perhatian. Tidak matang sungguh,” tulisnya di Twitter.

Dalam pada itu, Nabila turut mempersoalkan mengenai cakap-cakap mengatakan konsert antarabangsa boleh menyebabkan budaya hedonisme.

Tangkap layar ciapan Nabila yang mengatakan tindakan pembatalan konsert artis antarabangsa sebagai tidak matang.
Hedonisme adalah fahaman falsafah bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup.

Ia juga merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia.

Perkara tersebut turut menarik perhatian pengikutnya yang mengatakan masalah melibatkan aktiviti rasuah dalama kalangan ahli politik lebih meruncing daripada isu konsert artis antarabangsa.

Luahan netizen yang membandingkan kesan penganjuran konsert penyanyi luar negara dengan aktiviti rasuah dalam kalangan ahli politik.

“Konon pentadbiran berlandaskan Islam tetapi kebajikan rakyat tidak terpelihara,” antara komen netizen di Twitter.

Terdahulu, pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak menggesa kerajaan membatalkan penganjuran konsert artis antarabangsa yang boleh merosakkan aqidah umat Islam.

Malah PU Syed turut memberi cadangan untuk mengadakan protes bagi menghalang penganjuran konsert yang bakal berlangsung seperti Blackpink pada Mac tahun hadapan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Ahmad Fadhil Shaari turut membangkitkan isu sama dan menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan jika tuntutan itu tidak diendahkan.