PRU-15 dan PRN Sarawak akan diadakan serentak awal tahun depan?

PRU-15 dan PRN Sarawak akan diadakan serentak awal tahun depan?
Penganjuran pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak secara serentak akan mampu menjimatkan kos.
Demikian respons Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ujarnya, penganjuran sesuatu pillihan raya memerlukan kos perbelanjaan yang besar dan situasi ketika ini tidak mengizinkan berlakunya pembaziran.
“Sekiranya dapat diadakan secara serentak, saya percaya ia merupakan cadangan yang baik namun semua keputusan bergantung kepada pemimpin atasan.
“Kalau boleh janganlah terlalu banyak pillihan raya diadakan kerana ia melibatkan kos jutaan ringgit dan ini juga merupakan duit rakyat,” jelas Abdul Karim.
Selain itu tambahnya, jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini sudah bersedia untuk menghadapi PRN12 walaupun ia tidak akan diadakan dalam masa terdekat.
“Bercakap mengenai persediaan parti, saya boleh katakan bahawa GPS sudah bersedia sepenuhnya.
“Namun, pilihan raya kebiasaannya tidak diadakan ketika berlangsungnya peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kerana kita tidak mahu mengganggu perjalanan proses itu,” tambahnya lagi.
Abdul Karim berkata demikian dalam temu bual khas menjelang PRN12 di bangunan Baitulmakmur II, Kuching pada Rabu.
Sumber: Astro Awani