PRU-15 : PM dakwa belum bincang dgn ‘Top 5’ UMNO, Anwar jangka kemungkinan bulan 10 ataupun 11

PRU-15 : PM dakwa belum bincang dgn ‘Top 5’ UMNO, Anwar jangka kemungkinan bulan 10 ataupun 11

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad berkata, beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Memetik laporan Sinar, ‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Perdana Menteri sendiri.

Katanya, selepas berbincang dengan ‘Top Five’, baharulah beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen yang lain.

“… kemudian ia perlu dibawa ke kabinet sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan kabinet sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk (mendapat perkenan) membubarkan Parlimen.

“Itu prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya semasa merucap pada Majlis Penyampaikan Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks UMNO Bera di Padang Luas di sini pada Ahad.

Walaupun belum berbincang mengenai tarikh, Ismail Sabri mengingatkan pimpinan BN di Parlimen Bera untuk bersedia memperkemaskan gerak kerja jentera termasuk berjumpa pengundi bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang.

PRU15, menurut Ismail Sabri walaupun tarikhnya belum diketahui, namun memberi bayangan “semakin hari ia semakin dekat’ dan secara berseloroh berkata perkara itu perlu ditanya kepada Perdana menteri mengenai bilakah tarikh pilihan raya akan diadakan?.

Bagaimanapun jika merujuk kenyataan Mohamad, Ismail Sabri berkata Timbalan Presiden UMNO itu menjangkakan PRU15 akan diadakan sebelum hujung tahun ini, dan ini bermaksud tempohnya semakin hampir sekali gus penting bagi jentera parti untuk mula membuat persiapan.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan sama ada pada akhir Oktober atau awal November.

Menurut beliau, seandainya perkara tersebut berlaku, pihaknya telah bersedia.

“Segala jentera daripada PKR telah kita gerakkan termasuk juga rundingan pembahagian kerusi Parlimen bersama dan di dalam rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) pun kita telah mulakan, banyak persefahaman telah dicapai,” katanya kepada media selepas selesai program Sesi Townhall: Pentas Interaksi Anak Muda Anjuran Anwar Ibrahim Legislative Internship (AILA) di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam masa yang sama menjelaskan seandainya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diterima masuk sebagai komponen dalam Pakatan Harapan (PH), pihak mereka akan membincangkan lebih lanjut mengenai struktur pengagihan kerusi.

“Walau bagaimanapun, kerusi-kerusi yang telah sedia ada dimenangi PH kini kebiasaannya tidak akan ditukar serta diberikan kepada parti lain untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” ujarnya.

Muda menerusi Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini menyatakan akan menandingi 15 kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang susulan menyatakan kesetujuan untuk menyertai PH.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatķan kerajaan untuk tidak sewenang-wenangnya menetapkan tarikh PRU15 yang bertujuan mempercepatkannya bagi menutup kes mahkamah sesetengah pihak berkepentingan.