Pucuk dicita ulam mendatang : Pilih PN, Umno akan tanding kerusi MIC
Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, menyifatkan keberadaan MIC dalam BN umpama ‘biawak hidup’ yang masalahnya terpaksa ditanggung oleh gabungan berkenaan.
Mustapha berkata, dia benar-benar berharap agar impiannya melihat parti itu menarik diri daripada BN menjadi kenyataan.
“Saya tidak risau dengan tindakan MIC itu. Selama ini pun keberadaanya sejak dari zaman (parti) Perikatan hingga BN hanya membebankan Umno. Bagai memikul biawak hidup. Tiada beban batu digalas.
“Malah saya benar-benar berharap supaya MIC keluar dari BN. Biarlah Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan lebih banyak kerusi yang MIC boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
“Insya-Allah Umno akan pasti mengisi kekosongan tempat MIC dikawasan majoriti pengundi Melayu yang selama ini diserahkan kepada MIC,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada 3 April lalu, seminggu setelah Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, MIC mengumumkan akan terus menyokong kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Presiden MIC, S Vigneswaran, berkata pendirian itu akan terus dibuat begitu sehingga keputusan muktamad mengenainya dibuat Majlis Tertinggi BN.
Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Tahunan ke-74 MIC beberapa hari lalu juga Vigneswaran turut mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana mengikuti acara mereka melalui platform Zoom.
“Umno pada minggu lepas telah memutuskan untuk menokhtah hubungan dengan PPBM (Bersatu) pada PRU yang akan datang.
“Bagi MIC kita menghormati keputusan atas semangat setiakawan BN.
“Bagaimanapun, MIC pada masa sekarang akan menyokong kepimpinan Muhyiddin dan akan berkerjasama dengan Bersatu hingga suatu perkembangan baru dalam keputusan majlis tertinggi BN,” kata Vigneswaran.
Mustapha juga berkata dia pernah mencadangkan supaya BN dibubarkan setelah mereka kalah dalam PRU lalu dan sejumlah parti dalanm gabungan itu di Sarawak membentuk gagasan lain.
Kata Mustapha langkah membubarkan BN wajar dibuat bagi mengelak Umno menanggung malu apabila lebih banyak parti lain yang meninggalkan mereka.
“Namun hari ini rakan lama BN, MIC, hampir pasti keluar BN. Mungkin MCA juga akan mengikut jejak langkah MIC.
“Insya-Allah Umno akan pasti mengisi kekosongan tempat MIC dikawasan majoriti pengundi Melayu yang selama ini diserahkan kepada MIC,” katanya lagi.
Untuk rekod sebelum ini beberapa kerusi yang diperuntukkan oleh BN kepada MIC memang merupakan majoriti Melayu, seperti Tapah, yang diwakili Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.
Kira-kira 47 peratus daripada pengundi di kawasan parlimen Tapah merupakan Melayu, diikuti 26 peratus Cina dan 15 India, manakala selebihnya kaum lain.
Saravanan kini merupakan menteri sumber manusia. – MK