Puji inisiatif PEKA B40, Khairy pilih jalan damai berdepan PH di parlimen

Puji inisiatif PEKA B40, Khairy pilih jalan damai berdepan PH di parlimen

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, memuji inisiatif dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH), PeKa B40, yang memberi manfaat kepada lebih 454,000 penduduk dalam kalangan B40.

Dalam hantarannya di Facebook, beliau berkata PeKa B40 adalah program baik dimulakan pemerintahan PH bawah pimpinan bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad.

“Mana-mana dasar atau program yang baik wajar diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 2019 dan 2020, lebih 454,000 rakyat kumpulan B40 menerima manfaat saringan kesihatan PeKa B40 dan pengamal perubatan swasta (GP) telah menyumbang lebih 284,000 saringan kesihatan atau 63%.

“Ditadbir oleh ProtectHealth, PeKa B40 adalah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya.

PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan, ditawarkan kepada rakyat dalam kelompok bawah 40% isi rumah, atau lebih dikenali sebagai kumpulan B40.

PeKa B40 menumpukan kepada ujian saringan kesihatan membabitkan kumpulan umur 50 tahun ke atas, termasuk pasangan mereka, yang mendapat bantuan sara hidup (BSH) atau kini dikenali sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Skim terbabit turut meliputi pembelian peralatan kesihatan sehingga RM2,000, insentif bayaran RM1,000 selesai menjalani rawatan barah dan elaun pengangkutan sehingga RM500 di kawasan Semenanjung, dan RM1,000 di Sabah dan Sarawak.

Khairy juga memberi penghargaan kepada Klinik Sri Balung yang menjalankan 6,568 saringan kesihatan, termasuk melalui aktiviti jangkau luar, kepada penerima PeKa B40 sepanjang 2019 dan 2020.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh kakitangan Klinik Sri Balung atas kecemerlangan ini. Saya harap anugerah ini dapat memberikan motivasi agar lebih banyak saringan kesihatan dapat dilakukan, lebih cepat kita mengesan penyakit tidak berjangkit dan seterusnya memantapkan penjagaan primer dalam negara,” katanya.

Sumber – FMT