Pukul anjing sampai mati, tindakan kejam 2 pemuda ini undang kemarahan warganet

Pukul anjing sampai mati, tindakan kejam 2 pemuda ini undang kemarahan warganet

Bagai jatuh ditimpa tangga, itulah peribahasa yang sesuai ditujukan kepada seekor anjing yang dipukul sehingga mati gara-gara didakwa menjadi punca seorang penunggang motosikal terjatuh selepas melanggarnya.

Video kejadian yang tular baru-baru ini di Twitter berjaya merakamkan kekejaman dua orang individu terhadap anjing yang lemah akibat kecederaan di kakinya.

Memetik The Vocket, kejadian ini difahamkan berlaku dekat sebuah jalan di Pulau Pinang yang mana anjing tersebut didakwa telah melintas secara mengejut lalu terlanggar dengan motor yang sedang lalu. Dikatakan kawasan itu agak gelap sekaligus sukar untuk dilihat oleh para pengguna.

Selepas dilanggar, anjing itu berkemungkinan mengalami patah kaki dan terus lari menyorok di kawasan longkang. Memandangkan pemilik motor tidak berpuas hati, maka mereka mencari anjing malang itu sehingga dijumpai di longkang berdekatan.

Lebih menyayay hati, anjing malang itu terus dipukul berulang-kali dengan objek kayu sehingga mati oleh dua individu durjana tanpa sedikitpun rasa simpati.

Malah, di dalam video itu sendiri kedengaran suspek meminta untuk tidak merakam atau memuat naik di mana-mana kerana tidak mahu tindakan kejam itu diketahui.

Rata-rata netizen mengecam tindakan kejam yang dilakukan oleh kedua-dua individu durjana itu. Bahkan, kita juga diminta untuk berbuat baik dan mempunyai ihsan terhadap semua ciptaan Tuhan.

Sumber Gambar: Twitter @syhmie

Sumber Gambar: Twitter @syhmie

Berdasarkan kemas kini ciapan asal yang dibuat, polis sudah menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut. Beliau juga berterima kasih kepada orang ramai kerana tolong menviralkan kes tersebut sehingga menarik perhatian pihak atasan untuk bertindak.