Puluhan ribu rakyat Kelantan banjiri konsert Jom Heboh

Puluhan ribu rakyat Kelantan banjiri konsert Jom Heboh

 

Lebih 20,000 penonton membanjiri konsert Karnival Jom Heboh (KJH) BABA’S yang berlangsung di RTC Tunjung, di sini, malam tadi.

Meskipun cuaca hujan renyai untuk seketika, masing-masing tidak berganjak untuk melihat enam artis membuat persembahan.

Konsert Jom Heboh malam tadi membariskan enam artis iaitu Azzam Shah, Ameng Spring, Ariff Bahran, Aepul Roza, Yamani Abdullah dan Naqiu.

Setiap artis masing-masing mendendangkan tiga lagu pada konsert yang bermula jam 9 malam sehingga jam 11 malam.

Konsert berkenaan juga menampilkan tiga DJ radio sebagai pengacara iaitu Fizi Ali, Kai Hassan dan Mat Dan masing-masing dari Hot FM dan Molek FM.

Pengurus Besar (Activation) Media Prima Omnia, Eileen Lim, berkata sambutan pada konsert malam tadi sangat luar biasa.

“Sambutan diterima sebagaimana konsert KJH yang diadakan di negeri lain. Pada mulanya kita agak gusar dengan cuaca hujan namun pengunjung yang hadir tidak berganjak sehingga konsert berakhir.

“Malah, kita menjangkakan konsert malam terakhir pada malam ini akan dihadiri lebih ramai penonton berbanding malam tadi.

“Untuk konsert malam ini, tujuh artis akan membuat persembahan iaitu Khai Bahar, Syafiq Farhain, Lan Solo, Nizam Laksamana, Rahmad Mega, Aiman Tino dan Irfan Haris,” katanya.

Katanya, walaupun konsert diadakan di KJH Kelantan, namun pihaknya mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan negeri.