Punca kenapa kehidupan rakyat Malaysia tertekan walaupun berada di landasan betul capai status negara maju

Punca kenapa kehidupan rakyat Malaysia tertekan walaupun berada di landasan betul capai status negara maju

 

Malaysia dikatakan sudah berada di landasan betul untuk mencapai status negara maju, senario hari ini memperlihatkan majoriti rakyat, terutama kakitangan swasta tertekan dengan kos sara hidup tinggi dan gaji serta manfaat yang mereka terima adalah rendah.

Justeru, adakah gaji minimum RM1,100 itu masih relevan, khususnya dengan mengambil kira kos sewa atau ansuran rumah bermula dari RM700 sebulan ditambah pula dengan ansuran kenderaan, yuran sekolah anak dan perbelanjaan bulanan lain.

Berdasarkan tinjauan BH, orang ramai berharap mendapat gaji lebih setimpal dan kerajaan melakukan sesuatu untuk mengawal harga barang supaya dapat diseimbangkan dengan pendapatan kumpulan B40.

Seorang juruteknik bangunan, Shafarizan Ahmad, 31, berkata isu gaji rendah ini terlalu subjektif, namun hakikatnya rakyat tertekan dengan kos sara hidup.

“Berhubung gaji rendah, saya yakin ini masalah masyarakat yang tinggal di bandar. Kita faham keadaan ekonomi semasa, justeru bagi saya sekali pun gaji itu tidak dapat dinaikkan, rakyat berharap kerajaan kawal harga barangan mentah kerana itu keperluan hidup kami.

“Keadaan ketika ini memperlihatkan separuh gaji kami habis membayar sewa rumah, bayar kereta atau motosikal dan selebihnya hanya untuk menampung perbelanjaan bulanan yang cukup-cukup makan sahaja,” katanya ketika ditemui BH, di sini.

Bagi Arman Mohamad, 45, pula yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta, gajinya hanya sekitar RM2,000 walaupun sudah bekerja 16 tahun.

Justeru, dia dan isteri terpaksa membuat kerja tambahan dengan berniaga pada waktu malam untuk menambah pendapatan.

“Dahulu gaji saya lebih rendah dalam RM700 sebulan. Jadi dari awal lagi saya mengusahakan perniagaan makanan kerana saya tahu gaji bekerja disiang hari itu tidak mencukupi.

“Apatah lagi saya mempunyai empat orang anak dan dua daripadanya kini belajar di kolej dan universiti.

“Rakyat tertekan dengan keadaan ini sehingga perlu membuat dua ke tiga kerja sehari. Ini bukan alasan untuk malas dan terus mengadu, tetapi sekiranya keadaan ini dapat diubah, maka hidup akan lebih sejahtera,” katanya.

Usahawan, Teruchelwam Supermaniam, 43, berkata sebagai seorang majikan, beliau berpendapat gaji perlu dibayar sepadan dengan produktiviti pekerja.

Teruchelwam yang mengusahakan syarikat teknologi maklumat berkata beliau menggajikan graduan yang tidak berpengalaman, sekitar RM2,800 hingga RM3,200.

“Benar, gaji pekerja di Malaysia lebih rendah berbanding negara membangun lain, tetapi kualiti graduan kita juga berbeza. Bagi saya, gaji ditawarkan majikan bagi sektor swasta sudah memadai, tetapi kita tidak boleh nafikan keadaan kos sara hidup tinggi menyebabkan gaji bulanan itu tidak mencukupi.

“Kerajaan mungkin boleh lihat sudut yang lebih kritikal seperti pemilikan rumah. Harga rumah sangat mahal untuk mereka menyewa di bandar pun menelan kos tinggi.

“Justeru jika diseimbangkan semuanya, saya yakin negara berada pada landasan betul ke arah negara maju dan rakyat tidak hidup dalam tekanan,” katanya.