Punca pemandu e-hailing rempuh geng basikal akhirnya terjawab, tengah guna handphone rupanya

Punca pemandu e-hailing rempuh geng basikal akhirnya terjawab, tengah guna handphone rupanya

 

PEMANDUyang terlibat dalam kemalangan tular membabitkan dua penunggang basikal di lebuh raya berhampiran Kota Warisan, Sepang, Selangor pada Ahad lalu didapati sedang menggunakan telefon pintarnya ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam insiden sekitar pukul 7.15 pagi itu, lelaki berkenaan yang juga pemandu e-Hailing itu dalam perjalanan dari arah Kajang, Selangor menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sampai di Jalan Dengkil/Kota Warisan,pemandu itu yang berada di lorong kiri telah menerima mesej daripada aplikasi e-hailing di telefon pintarnya dan dia memeriksa mesej tersebut.

“Semasa pemandu memeriksa mesej tersebut, dia telah terlanggar dari arah belakang salah seorang daripada dua penunggang basikal tersebut yang kemudiannya terlajak melanggar seorang lagi penunggang basikal lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Wan Kamarul, pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua penunggang terlibat mengalami cedera luka dan bengkak antaranya di bahagian belakang badan lutut dan tangan.

 

Katanya, kereta jenis Perodua Bezza yang terbabit dalam kemalangan itu pula mengalami kerosakan di bahagian bumper hadapan,bonet hadapan, manakala basikal ditunggang salah seorang mangsa pula mengalami kerosakan di bahagian tayar dan rim belakang.

Wan Kamarul berkata, setakat ini, pemandu berkenaan dan salah seorang daripada penunggang terlibat yang juga seorang lelaki berusia 42 tahun sudah membuat laporan polis.

“Manakala seorang lagi mangsa sehingga kini masih belum membuat laporan,” katanya yang menyatakan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.