Punca syarikat Hong Seng Consolidated Bhd batalkan projek RM3 bilion di Kedah akhirnya terjawab

Punca syarikat Hong Seng Consolidated Bhd batalkan projek RM3 bilion di Kedah akhirnya terjawab

Hong Seng Consolidated Bhd membatalkan projek bernilai RM3 bilion untuk membina kilang pembuatan lateks butadiena nitril (NBL) di Kedah Rubber City (KRC) ekoran kemerosotan dalam industri sarung tangan.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia Securities pada 13 September lalu, syarikat itu berkata, mereka telah membuat keputusan strategik untuk menggantung pembangunan kilang NBL memandangkan pelbagai faktor termasuk keperluan projek dan pembiayaan.

Turut diambil kira faktor di luar kawalan kumpulan itu seperti sentimen pasaran semasa industri sarung tangan, keperluan penjanaan modal dan aliran masuk pelaburan swasta dan asing.

Hong Seng membeli 42.49 hektar tanah Persekutuan di KRC dengan harga RM45.74 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk penubuhan loji itu pada 2020.

Hong Seng merupakan pengeluar sarung tangan, pakar pengurusan rantaian bekalan penjagaan kesihatan dan perubatan serta penyedia perkhidmatan kewangan.

KRC di Padang Terap merupakan taman perindustrian getah pertama di Kedah yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 506 hektar.

Taman perindustrian getah itu merupakan salah satu projek nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik 2021-2025 (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Susulan keputusan itu, rancangan oleh anak syarikatnya, HS Petchem Logistics Sdn Bhd, untuk membina tangki simpanan bahan mentah seperti petrokimia butadine (BD) dan Acrylonitrile (AN) serta perkhidmatan logistik untuk pembekalan bahan mentah kepada NBL juga telah digugurkan, lapor NST Business.

BD dan AN adalah bahan mentah yang diperlukan untuk pembuatan NBL.

Kumpulan itu telah mencapai persetujuan untuk menamatkan pajakan kecil 1.2 hektar tanah perindustrian daripada Penang Port Sdn Bhd, di mana kemudahan tangki simpanan akan dibina, untuk tempoh 20 tahun dengan jumlah bayaran sewa RM8.5 juta.

Pada November 2021 dilaporkan kilang NBL yang dijangka siap pembinaannya pada 2024 itu bakal mempunyai kapasiti pengeluaran penuh sebanyak 960 kilo tan sarung tangan setahun.