Pusat beli-belah anggap arahan had 2 jam setiap pelanggan tidak masuk akal
Pengurusan pusat beli-belah menghadapi kesukaran untuk menguatkuasakan penetapan baharu prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) berkaitan had maksimum dua jam bagi aktiviti membeli-belah.
Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) berkata, meskipun pihaknya bersetuju dengan usaha tersebut, namun ia dilihat tidak praktikal untuk dikuatkuasakan kerana mereka tidak memiliki kawalan penuh terhadap pergerakan pelanggan di dalam pusat beli-belah.
Menurutnya, satu-satunya cara yang boleh dilakukan dalam menguatkuasakan SOP tersebut adalah dengan cara memasang papan tanda di pintu masuk dan kawasan umum bagi memberi nasihat kepada para peniaga selain pengumuman untuk mengingatkan pelanggan.
“Selain itu, kami juga berpendapat bahawa tidak praktikal bagi sesiapa sahaja untuk meminta pelanggan memeriksa MySejahtera bagi melihat waktu masuk dan ditambah pula kami tiada kuasa untuk berbuat demikian.
“Tanggungjawab adalah terletak atas pelanggan sendiri untuk mendisiplinkan diri mereka dalam had dua jam dan bukannya pusat beli-belah untuk dikuatkuasakan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Sehubungan dengan itu, PPK berkata, pihaknya menentang sepenuhnya sebarang usaha memberikan hukuman terhadap pusat beli-belah dan atau peruncit yang gagal menguatkuasakan penetapan tersebut.
Pada Ahad, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) sektor perdagangan pengedaran serta mengenakan beberapa sekatan berkuat kuasa pada 25 Mei 2021 di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dipetik sebagai berkata, tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja.
Selain itu, turut dikemas kini adalah had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran serta kompleks beli-belah pula dihadkan kepada 60 peratus.
Mengulas lanjut, PPK berkata, sejak bermulanya penularan Covid-19 pada tahun lalu, rekod tempat letak kereta menunjukkan bahawa pembeli sudah menghabiskan masa antara satu hingga satu jam setengah lebih pendek daripada norma kebiasaaan iaitu tiga jam.
Jelasnya, premis perniagaan di dalam pusat membeli-belah juga sudah mengawal jumlah pelanggan dengan membataskan kapasitinya kepada 4 meter persegi bagi setiap seorang pelanggan manakala bilangan kapasiti maksimum mesti ditunjukkan di pintu masuk.
“Pelanggan juga tidak memiliki sebarang kesempatan untuk berkumpul di mana-mana kawasan umum kerana sebarang aktiviti pameran dan promosi sudah tidak dibenarkan,” katanya.
PPK menambah, bilangan pelanggan di pasar raya dan pusat beli-belah juga secara semulajadinya telah dikawal oleh jumlah tempat letak kereta yang dihadkan bilangannya.
“Tambahan pula, jumlah penumpang dalam kereta kini terhad tiga orang dan jumlah pengguna pengangkutan awam pula tidak ketara,” ujarnya. – SH