Puteri Sarah dibenar mulakan prosiding hina mahkamah terhadap Ira Kazar, keluarga

Puteri Sarah dibenar mulakan prosiding hina mahkamah terhadap Ira Kazar, keluarga

 

Pelakon Puteri Sarah memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap madunya Ira Kazar, kakak, serta bapa mereka yang juga pelakon veteran, Kazaruddin Saisi.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Norakhmar Mohd Sani memberi kebenaran itu ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Menurut Akberdin, pihaknya akan menyerahkan salinan permohonan komital itu kepada Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini, kakaknya iaitu Yasmin dan bapa mereka.

“Selepas penyampaian disempurnakan, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mereka menjawab terhadap permohonan kami. Pada masa ini, tiada sebarang tarikh ditetapkan,” kata peguam itu ketika dihubungi.

Puteri Sarah memfailkan notis permohonan komital itu secara ex-parte (sebelah pihak) pada 31 Jan lepas terhadap ketiga-tiga individu itu atas dakwaan dengan sengaja menentang atau mengingkari perintah injunksi yang diperoleh Puteri Sarah pada 4 Julai 2022.

Ibu kepada dua anak itu memohon perintah injunksi tersebut dalam kes saman difailkannya terhadap Ira yang didakwa mengganggu dan mengugutnya menerusi media sosial.

Pada 4 Julai 2022, Puteri Sarah berjaya memperoleh perintah injunksi daripada mahkamah antara lain bagi menghalang Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya daripada mengganggu dan menjejaskan ketenteraman serta kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentua termasuk suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof.

Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah dan keluarganya atau rakan serta orang gaji kepada isteri pertama Syamsul itu.

Pada 16 Janauri lepas, Puteri Sarah, 38, memfailkan permohonan cerai dengan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, di Mahkamah Rendah Syariah di sini dan sebutan kes ditetapkan pada 7 Mac ini di hadapan Hakim Syarie Akmalludin Ilyas.