Puteri Sarah mahu bantu ibu & tujuh anak dihalau dari rumah sewa

Puteri Sarah mahu bantu ibu & tujuh anak dihalau dari rumah sewa

 

Pelakon sensasi, Puteri Sarah meluahkan hasrat bagi membantu ibu tujuh anak yang akan diusir dari rumah sewa disebabkan tidak membayar sewa sejak Oktober tahun lalu.

Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia simpati melihat nasib wanita yang juga pesakit mental itu kerana diabaikan suaminya yang telah berkahwin lain.

Malah, pelakon berusia 38 tahun itu turut menyelar tindakan suami wanita tersebut yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas berpoligami.

“Allahuakbar kejamnya. Inilah yang dikatakan nak poligami tapi tak tahu tanggungjawab. Siapa kakak ni? Jika ada maklumat, tolong mesej Sarah. Sarah nak tolong,” tulisnya menerusi satu InstaStory semalam.

InstaStory berkenaan memaparkan sebuah keratan berita bertajuk ‘Ibu & 7 Anak Dihalau Dari Rumah Sewa, Suami Jarang Balik Sejak Ada Bini Muda’ yang melaporkan kesusahan hidup wanita terbabit.

Semalam, pihak Zakat Selangor tampil menghulurkan sumbangan kepada wanita tersebut yang mempunyai anak berusia antara empat hingga 14 tahun.

Lebih malang apabila situasi itu menyebabkan anak sulungnya turut mendapat rawatan psikiatri kerana kerap mengamuk sehingga sukar dikawal sekali gus perlu mengambil ubat penenang.

Terdahulu, Sarah dilabel sebagai ‘wanita besi’ kerana gigih memperjuangkan haknya susulan mengalami kemelut rumah tangga bersama suaminya Syamsul Yusof yang telah berkahwin lain di Thailand.

Tidak berdiam diri, ibu kepada dua cahaya mata itu kemudian menfailkan penceraian terhadap suaminya yang juga pengarah terkenal di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur bulan lalu.