Puteri Shazwani, pegawai wanita TLDM pertama bergelar pakar musnah peluru & bahan letupan
Orangnya cantik dan bijak, itu gambaran terbaik buat seorang Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Madya Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman yang menjadi pegawai wanita TLDM pertama miliki kepakaran musnah peluru dan bahan letupan pada 2021.
Kisah kejayaan tersebut kembali tular di Twitter @jiwabaik yang memetik catatan daripada Facebook Dr. Zulkifli Hussain, memaklumkan anak jati Kuala Lumpur yang membesar di Ipoh, Perak itu mengakui perlu cepat menyesuaikan diri dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang situasi.
Puteri Shazwani ketika ditanya oleh Dr. Zulkifli ketika itu berkata, peranan wanita dalam bidang ketenteraan adalah sama penting walaupun dalam bidang yang majoritinya dipelopori oleh golongan lelaki.
“Saya tak nafikan golongan wanita ada limitasi daya kekuatan fizikal berbanding dengan lelaki. Namun wanita tiada limitasi dari aspek kekuatan mental, ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan personaliti”.
“Jadi golongan wanita pun boleh berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki sekiranya mereka ada kelebihan itu,” katanya.
Mengulas lanjut tentang laluan kerjayanya, Puteri Shazwani berkata dia sukakan cabaran dan ingin mencuba sesuatu yang baharu bagi menguji kemampuan diri.
Oleh itu, bidang ketenteraan yang diceburinya itu membuka banyak peluang kepada cabaran dan mengasahkan bakat di dalam dirinya.
Sedikit info tentang Puteri Shazwani, anak kedua daripada lima beradik itu mendapatpendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Ipoh, kemudian ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Ipoh dan menamatkan pelajaran di Maktab Rendah Sekolah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak pada 2012.
Kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan sebelum diserap sebagai Pegawai Kadet Laut di universiti tersebut.
Setelah ditauliahkan dan dikurniakan pangkat Leftenan Muda TLDM pada 2019, Puteri Shazwani berkhidmat di Markas Tentera Laut, Bahagian Material pada 2021, selain menghadiri Kursus Pegawai Kejuruteraan Peluru selama lapan bulan di Kem Mempaga, Bentong sebelum diperjawatkan sebagai Pegawai Laksana di Depot Peluru dan Bahan Letupan Wilayah Laut 1.