Queen Counsel talian hayat terakhir Najib elak ke Sungai Buloh

Queen Counsel talian hayat terakhir Najib elak ke Sungai Buloh

Najib Razak hari ini menyatakan hasrat bagi mendapatkan Queen Counsel (QC) dari United Kingdom bagi menghadiri prosiding rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes RM42 juta SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

Menurut lapiran portal FMT, perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul hari ini semasa pengurusan kes hari ini melalui peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah.

“Beliau (Shafee) akan menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan esok mengenai hasrat mereka untuk memohon QC bagi menghadiri dan menghujahkan rayuan itu,” kata Ashrof selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa.

QC, dikatakan pakar dalam bidang undang-undang tertentu, hanya boleh hadir di mahkamah negara ini secara ad hoc selepas dibenarkan masuk.

Badan Peguam dan Jabatan Peguam Negara boleh menyokong atau membantah jika Najib membuat permohonan sedemikian.

Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan didapati bersalah.

Ashrof, yang hadir bersama pendakwa ad hoc V Sithambaram dalam pengurusan kes itu, berkata tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan berkenaan berikutan cadangan untuk membawa peguam asing itu.

“Satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada Jumaat bagi menentukan langkah seterusnya untuk rayuan utama itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Siti Hajar menetapkan 15 dan 16 Mac sebagai tarikh pendengaran rayuan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan SRC.

Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan keterangan baharu, dengan menyatakan bahawa beliau tidak memenuhi empat elemen ketat diperlukan bawah undang-undang.

Ia adalah keterangan yang tidak disediakan pada perbicaraan, perkaitan, dan kredibiliti.

Keempat ialah keterangan itu akan menimbulkan keraguan munasabah dalam fikiran hakim bicara, jika ia telah dikemukakan bersama dengan orang lain semasa perbicaraan.

Keesokannya, mahkamah sama mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC itu

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Karim berkata, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak terkhilaf sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.