Rafizi beri bayangan calon PH di Sungai Buloh akan ditukar

Rafizi beri bayangan calon PH di Sungai Buloh akan ditukar

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli memaklumkan perbincangan akan dilakukan bersama Presidennya, Anwar Ibrahim berkenaan pemilihan calon parti itu di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, langkah itu diambil susulan daripada maklum balas diterima daripada pengundi di kawasan tersebut.

Saya hargai semua pandangan. Keputusan akhir adalah keputusan beliau sebagai Presiden parti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Memetik laporan MediaRania, KEADILAN pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa parti itu akan meletakkan Timbalan Ketua Penerangan I KEADILAN, R Ramanan sebagai calon di Parlimen Sungai Buloh bagi menggantikan penyandangnya R Sivarasa.

Pada masa sama, BN pada Selasa mengumumkan gabungan itu meletakkan Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Kesihatan untuk bersaing di kerusi Parlimen tersebut.

Pada PRU14, Sivarasa berjaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan memperolehi sebanyak 43,631 undi dan majoriti 26,634 dalam persaingan empat penjuru membabitkan calon daripada MIC, Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).