Rafizi cetus teka-teki buat kemunculan semula dalam politik

Rafizi cetus teka-teki buat kemunculan semula dalam politik

‘Insya-Allah saya solat istikarah’.

Itu kata-kata ringkas bekas Naib Presiden PKR Razifi Ramli di Twitter, berikutan terdapat desakan agar beliau kembali ke pentas politik.

“Lama aku fikir nak reply tweet @reformist ni. Kena tanya keluarga, kena bincang dengan shareholders, kena bincang dengan team members di tempat kerja (kucing aku Kristy confirm tak setuju).

“Bila kita ambil jalan politik, niatnya kena betul,” kata Rafizi yang dilaporkan MalaysiaGazette.

Beberapa penyokong PKR mendesak beliau kembali aktif di dalam parti itu selepas lama menyepi daripada arena politik.

“Bro @rafiziramli, tolonglah comeback. Aku dah tak tahu mana hala tuju negara kita sekarang. Tolong bro, kita masih ada tugas yang kita kena selesaikan. Malaysia masih perlukan khidmatmu. Kita mula semula dari bawah. Agenda reformasi mesti kita selesaikan demi anak cucu kita,” ciap @reformist.

“Kerugian besar sebab @rafiziramli memang ideal untuk membangunkan kembali negara. Idea-idea beliau memang selalunya baik dan bernas. Semoga PKR berjaya memujuk beliau,” kata @sirsazly.

“Please. Sebab kempen beliaulah aku yakin nak pangkah parti Mahathir dekat tempat aku dulu. Kalau tak, mungkin dah pangkah Pas,” sokong @pcarbee.

“Ganti je Anwar Ibrahim. Selagi Anwar masih ketua PKR prestasi parti ini akan terus merudum. PRN Johor akan jadi contoh keempat selepas PRN Sabah, Melaka dan Sarawak. PKR dapat 2 kerusi (Sabah) dan kosong di PRN Melaka dan Sarawak. Di PRN Johor nanti paling banyak pun 4,” kata @SchmuelsonsR.

“Kalau aku, aku cadang je @rafiziramli jadi timbalan presiden PKR, @saifnasution jadi presiden PKR, @anwaribrahim jadi ketua umum PKR. So @anwaribrahim boleh fokus sebagai pengerusi PH untuk kukuhkan PH, dia tak payah risau PKR,” cadang @Muhammad_9802.

Rafizi bersara daripada politik sejurus Mahkamah Tinggi membebaskannya terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) pada 15 November 2019.

Pembebasan tersebut dilakukan selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen apabila didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya.

Selepas dibebaskan, beliau mengumumkan tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik atau menyandang sebarang jawatan penting.