Rafizi jangka PRU-15 antara Ogos atau September tahun ini
Bekas ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli menjangkakan pilihan raya umum akan datang (PRU15) akan diadakan dalam tempoh empat bulan lagi, lapor portal akhbar Malaysiakini.
Rafizi memberitahu pemberita semalam bahawa jangkaannya itu dibuat atas beberapa faktor.
Ini termasuk memorandum persefahaman (MOU) kerjasama antara kerajaan dengan Pakatan Harapan yang memperuntukkan parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai dan tempoh berakhir musim mengerjakan ibadah Haji.
“Empat bulan adalah masa yang singkat (dari sekarang). Dan saya tidak terkejut jika ia diadakan pada bulan Ogos atau September.
“Jika saya dalam Umno, saya akan menggesa pilihan raya umum diadakan pada akhir Julai,” katanya dipetik The Star.
Dia juga semalam menyuarakan kesediaannya untuk bertanding di parlimen Pandan sekali lagi jika pimpinan parti membenarkannya untuk berbuat demikian.
“Ahli politik mesti fokus untuk berkhidmat kepada rakyat. Selalunya ahli politik berebut jawatan parti supaya dapat jawatan kerajaan.
“Kebanyakan tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika bercakap di Concorde Club forum.
Menurut Rafizi, dia telah mendapat sambutan menggalakkan setakat ini sejak dia menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden, bersama dengan kempen ‘Ayuh Malaysia’.
Rafizi berkata kempen itu dimulakan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar menjelang PRU15 dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menjadi sukarelawan untuk PKR.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Rafizi telah membuat kejutan dalam partinya, PKR, selepas mengumumkan dia akan bertanding jawatan timbalan parti itu dalam pemilihan PKR akan datang.
Ia mengejutkan banyak pihak memandangkan sebelum ini dia mengambil keputusan untuk berehat daripada politik pada 2019, walaupun pada masa sama menyandang jawatan naib presiden parti.
Rafizi berkata dia kembali ke arena politik berikutan beberapa siri kegagalan PH dan PKR dalam empat pilihan raya negeri, yang terbaru PRN Johor pada bulan lalu.
Sebelum ini, Rafizi, 45, kalah dalam pertandingan sengit dalam merebut jawatan timbalan presiden terhadap Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan PKR 2018. Azmin kemudian berpaling tadah ketika insiden Langkah Sheraton pada Februari 2020 untuk membentuk kerajaan baru bersama bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Reputasi Rafizi dalam PKR dikenali sebagai pemimpin yang lantang bersuara dalam pelbagai isu semasa termasuklah konflik dalaman partinya. Sebelum ini, dia telah beberapa kali mengkritik keputusan parti itu secara terbuka.