Rafizi kantoikan MP Kangar pinjam duit untuk bayar deposit calon ketika PRU-14

Rafizi kantoikan MP Kangar pinjam duit untuk bayar deposit calon ketika PRU-14

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini bertikam lidah dengan Amin Ahmad daripada parti sama, lapor portal berita Malaysiakini.

Rafizi membalas ciapan Amin selepas anggota parlimen Kangar menyarankan Rafizi bertemu anggota parti terlebih dahulu selepas mengambil cuti daripada politik.

Melihat Amin seperti mengungkit perkara lama, Rafizi membalasnya dengan berkata Amin juga jarang ada di Kangar sebelum menang di parlimen itu pada 2018.

“Sama macam saudara jarang sangat ada di Kangar sebelum 2018, tapi saya jemput dan kempen juga dan push sampai menang kerusi Kangar walaupun orang Kangar pun tak kenal.

“Tak pula saya ungkit macam ini. Pandangan saja. Kempen di Twitter ini mudah,” katanya sambil menggunakan emoji ketawa.

Amin sebelum itu menjawab seorang penguna maya yang berkata Rafizi calon yang sesuai untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR, jawatan kedua terpenting selepas Anwar Ibrahim.

Amin berkata perkara itu tiada masalah dalam demokrasi tetapi dia merasakan Rafizi lebih sesuai bertanding jawatan naib presiden saja.

“Tak ada masalah. Demokrasi. Saya OK. Rafizi memang seorang calon popular. Cuma bila beliau ambil cuti selepas dilantik, saya fikir elok beliau kembali berperanan jumpa anggota parti semula. Saya akan undi jika dia tanding naib presiden dulu,” katanya.

Mereka kemudian saling jawab menjawab, sehinggalah meleret kepada tindakan Amin meminjam deposit untuk bertanding di Kangar.