Raja Permaisuri Agong bangga roti canai dinobat roti terbaik dunia

Raja Permaisuri Agong bangga roti canai dinobat roti terbaik dunia

 

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan bangga kerana Roti canai kegemaran rakyat Malaysia telah dinobatkan sebagai roti terbaik di dunia oleh Tasteatlas, baru-baru ini.

Berdasarkan hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kejayaan itu yang menyaksikan roti canai mengalahkan India yang popular dengan roti naan dan juga Eropah yang terkenal sebagai negara penghasilan pastri terbaik dunia.

Menurut hantaran sama, Roti canai juga adalah pilihan makanan yang digemari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Roti Canai

“Menduduki ranking pertama dalam carta tersebut, roti canai mendapat skor tertinggi iaitu 4.9 daripada 5.0 berdasarkan ulasan pengguna. Ini bukan pertama kali roti canai menerima pengiktirafan daripada Tasteatlas.

“Pada Julai lalu, ia pernah dinobatkan sebagai ‘roti rata’ terbaik di dunia. Pada September tahun lalu juga, roti canai turut dianugerahkan sebagai makanan jalanan terbaik di dunia oleh laman antarabangsa itu,” menurut hantaran Istana Negara.

TasteAtlas sebuah laman antarabangsa yang menjadi panduan pelancongan dalam talian, memfokuskan makanan dan memaparkan ulasan serta cadangan daripada golongan profesional dan pengkritik masakan di seluruh dunia.

Pan de Bono yang berasal daripada Colombia mendapat tempat kedua.

Roti berkenaan diperbuat dengan tepung jagung, keju dan telur.

Butter garlic naan dari India pula dinobatkan di tempat ketiga dalam carta berkenaan.