Rakyat mahu kerajaan perkenalkan ‘Jualan Rahmah’, bahan mentah dalam bentuk set

Rakyat mahu kerajaan perkenalkan ‘Jualan Rahmah’, bahan mentah dalam bentuk set

 

Kerajaan disarankan agar melaksanakan ‘Jualan Rahmah’ di pasar awam dengan menyediakan jualan bahan mentah dalam bentuk set.

Ini termasuklah dengan melaksanakan pameran harga set bahan mentah tersebut terus kepada pelanggan.

Tinjauan yang dibuat oleh akhbar Kosmo mendapati, rata-rata di kalangan rakyat pada hari ini mencadangkan agar inisiatif seumpama itu dapat dilaksanakan segera.

Seorang pengguna Facebook, Syuhada pada mulanya telah memuat naik gambar set jualan mengikut menu masakan tertentu yang ditemuinya ketika berkunjung ke Pasar Besar Cheras baru-baru ini.

Teknik jualan yang digunakan oleh seorang peniaga di pasar tersebut ialah dengan menyediakan bahan mentah lengkap bersama dengan bahan-bahan lain untuk memasak kari yang diletakkan dalam satu talam.

“Ada dua pilihan ‘lauk’ utama iaitu ayam dan ikan, rempah kari, cili kering, bawah besar semuanya lengkap dalam satu set talam.

“Rasanya cara berniaga macam ini lebih mudah, bantu pembeli dapatkan bahan memasak dengan mudah, tak perlu masuk banyak kedai,” jelasnya.

Hantarannya itu mendapat reaksi positif di ruangan komen malah ramai turut bersetuju jika kaedah jualan seperti itu turut diamalkan oleh peniaga di pasar yang lain.

“Seronoknya kalau pergi pasar peniaga sedia macam ini, bantu bagi idea nak masak apa juga, lengkap bahan dalam set talam, setuju la cara ini perlu diperbanyakkan,” komen Nurul Amalina.

“Saya cadang, ramaikan lagi peniaga guna kaedah jualan seperti ini, mudah untuk pembeli. Rasanya ‘Jualan Rahmah’ kerajaan pun boleh buat macam ini untuk bantu rakyat,” tambah Azrul.