Rakyat Malaysia parah ditembak individu tidak dikenali di Thailand

Rakyat Malaysia parah ditembak individu tidak dikenali di Thailand

 

Malang tidak berbau menimpa seorang rakyat Malaysia di Bandar Betong, Wilayah Yala, Selatan Thailand apabila beliau dilaporkan cedera parah selepas ditembak di hadapan sebuah kedai serbaneka.

Menurut laporan Utusan Malaysia, mangsa berusia 55 tahun itu ditembak oleh suspek yang tidak dikenali.

Polis Daerah Pengkalan Hulu melalui kenyataannya berkata bahawa mangsa berasal dari Kampung Padang Tamat, Pengkalan Hulu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 9 malam semasa mangsa sedang menunggang motosikal dan didatangi suspek lalu menembaknya tiga kali di hadapan kedai serbaneka tersebut.

Kesan daripada kejadian tersebut, mangsa kini dilaporkan mengalami cedera parah di bahagian perut dan paha. Beliau kini dibawa ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Selepas kejadian, suspek yang dipercayai seorang warga Thailand telah meloloskan diri dan sehingga kini masih lagi belum ditangkap.

Manakala siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis Thailand bagi mengesan suspek. Motif kejadian pula difahamkan berpunca daripada hal peribadi atau perniagaan.

“Mangsa yang berasal dari Pengkalan Hulu itu dikatakan telah lama keluar masuk ke Daerah Betong kerana dipercayai mempunyai isteri warga Thailand.

“Mangsa yang pernah menjalankan perniagaan pusat hiburan di Bandar Betong juga mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dadah di Malaysia,” kata Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim.