Rakyat semakin bosan dan hilang keyakinan dengan kerajaan PN, dakwa Proff Agus
Kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat, kata penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Menurutnya, rakyat kini sudah hilang keyakinan disebabkan polisi yang dilakukan tidak jelas.
“Rakyat sedih, keliru dan resah dengan hala tuju kerajaan sekarang. Polisi pemerintahannya tidak jelas. Menteri banyak diam dalam isu-isu yang memerlukan tindakan segera.
“Sekarang ini rakyat gelisah dengan SOP (prosedur operasi standard) yang cepat berubah dan darurat. Kata kerajaan, darurat bertujuan untuk mengatasi Covid-19 tetapi terbukti dengan darurat, Covid-19 semakin mengganas,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata, kegagalan yang ditunjukkan tersebut telah menyebabkan kerajaan hilang legitimasi di mata rakyat.
Jelasnya, ditambah lagi dengan tindakan kerajaan yang tidak mengizinkan undi tidak percaya dibentangkan.
“Apabila kerajaan hilang legitimasi di mata rakyat kesannya rakyat tidak patuh kepada undang-undang dan peraturan, muncul kepembangkangan sivil dan persekitaran politik menjadi tidak kondusif.
“Selain itu, rakyat tidak percaya lagi kepada wibawa pemimpin, pelabur tidak datang sekali gus menjadikan ekonomi negara teruk, politik tidak stabil dan panas sepanjang masa dan munculnya kemunduran demokrasi,” ujarnya.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar darurat ditamatkan dan mengadakan kembali persidangan Parlimen agar dapat menyemak tindakan kerajaan serta membela nasib rakyat.
Selain itu, katanya, kerajaan juga diminta untuk mengatasi ekonomi negara dengan program dan dasar yang lebih jelas selain mengurangkan jumlah menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak berkaitan.
“Menteri jangan lagi mempunyai sikap ‘denial syndrome’. Semua mesti serius terima realiti dan berubah ke arah yang lebih baik.
“Semoga selepas raya ekonomi negara pulih, politik lebih stabil, retorik pemimpin berkurangan dan rakyat semakin sejahtera,” ujarnya. – SH