Rakyat sengsara, harga bawang naik 5 kali ganda

Rakyat sengsara, harga bawang naik 5 kali ganda

Harga bawang besar India, di sekitar bandar raya ini meningkat hampir lima kali ganda berikutan kekurangan stok sejak dua minggu lalu.

Satu guni lima kilogram bawang besar India pula kini dijual dengan harga RM26.90 berbanding antara RM13 hingga RM16 sebelum ini.

Harga bawang besar India dijual pada harga RM3 hingga RM4 sekilogram, namun ia meningkat kepada RM8 sekilogram, sejak tiga minggu lalu.

Di beberapa kedai runcit juga didapati stok bawang besar India hanya tinggal sedikit dengan harganya amat mahal berbanding biasa.

Peniaga kedai runcit, Muhd Ridzuan Ismail, 28, berkata harga bawang besar India meningkat mendadak sejak tiga minggu lalu.

“Sebelum ini harga bawang besar India RM3 hingga RM4 sekilogram, sekarang meningkat kepada RM8 sekilogram, sejak tiga minggu lalu.

“Kedai saya pun terputus bekalan bawang besar India, sejak seminggu lalu dan kini yang sampai pun sangat sikit berbanding dahulu penuh tong besi di kedai saya yang berisi stok bawang besar India.

“Jika dulu, ada beg guni dua kilogram (kg) dan 10 kg namun kini bekalan bawang besar India hanya ada beg guni lima kilogram sahaja dan ini pun hanya ada kurang lapan beg guni yang tinggal.

“Tiga empat bulan lalu, harga satu beg guni lima kg bawang besar India dijual di bawah RM10, namun kini melonjak kepada RM26.90.

“Ramai juga pengguna merungut, namun saya pun tidak boleh berbuat apa-apa kerana harganya memang melonjak naik daripada pembekal, ” katanya ketika ditemui di kedainya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima laporan pengguna harga bawang India meningkat kerana bekalan bawang dari negara itu dilaporkan agak berkurangan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata, ia berikutan kebanyakan kawasan pengeluar bawang di India sedang menghadapi bencana banjir menyebabkan bekalan bawang daripada India terjejas.

Suri rumah, Siti Zamilah, 39, terkejut apabila mengetahui harga bawang India melonjak naik lebih lima kali ganda.

“Saya selalunya beli bawang tak banyak. Namun bila tengok hanya ada beg guni lima kilogram sahaja yang ada dengan harga RM26.90 sudah tentu saya terkejut dan berfikir banyak kali untuk membeli bawang, ” katanya.

Peniaga makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Zalia berkata, harga yang melonjak membuatkan peniaga sepertinya terjejas dan menanggung kesannya.

“Memang harga bawang besar sangat mahal di semua tempat, tak boleh nak buat apa. Saya pun terpaksa menaikkan sedikit harga makanan disebabkan kos bahan mentah meningkat.

“Ada pelanggan faham, namun ada juga pelanggan yang menyatakan kami hanya mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan, ” katanya.

Sumber: Berita Harian