Ramadan bukanlah tiket untuk bercuti dari beriadah, ini 3 waktu terbaik bersenam di bulan puasa

Ramadan bukanlah tiket untuk bercuti dari beriadah, ini 3 waktu terbaik bersenam di bulan puasa

 

BERSENAM sangat digalakkan untuk mencergaskan badan dan meningkatkan daya tahan kardiovaskular.

Namun begitu, ketika ketibaan Ramadan, adakah anda harus berhenti dari mengamalkan rutin bersenam?

Rasa lapar dan dahaga sudah pasti dirasa, ada yang berpendapat Ramadan adalah tiket untuk bercuti sebulan dari beriadah.

senam

Selain itu, anda akan mudah berasa penat dan lesu kerana kurangnya pengambilan cecair ke dalam tubuh sekali gus menyebabkan rasa ‘liat’ untuk bersenam.

Sebenarnya ada cara dan tip yang boleh dipraktikkan untuk bersenam ketika bulan mulia ini tanpa merisikokan kesihatan.

Berikut adalah masa yang disarankan untuk keluar bersenam ketika Ramadan.

1) Keluar bersenam sebelum waktu berbuka puasa

Ketika puasa, keluar bersenam sebelum anda berbuka puasa akan membakar lemak lebih banyak.

Ini pastinya menguntungkan bagi anda yang berhasrat untuk menurunkan berat badan ketika berpuasa.

Bersukan semasa perut kosong boleh membantu untuk menghilangkan lemak lebih banyak.

Setelah bersenam (menggunakan sisa tenaga anda), anda boleh makan semasa berbuka puasa untuk menggantikan tenaga yang hilang.

Bersenam sebelum berbuka puasa merupakan waktu yang baik, anda tidak perlu bimbang akan paras gula dalam darah yang rendah atau dehidrasi kerana anda akan berbuka tidak lama selepas itu.

Namun sila ingat, jangan memaksa diri untuk melakukan sukan yang berat atau berlebihan, ikut kemampuan diri anda.

Anda masih berpuasa dengan bekalan tenaga yang sedikit. Oleh itu, senaman yang anda lakukan perlu dihadkan, tidak lebih dari 60 minit.

Jangan sampai anda sakit, berasa letih, dan pening selepas bersenam.

2) Bersenam selepas berbuka puasa

Ini merupakan masa yang terbaik untuk bersenam ketika puasa. Anda boleh bersenam dua hingga tiga jam selepas berbuka puasa.

Tunggu sehingga makanan selesai dicerna oleh badan agar anda mempunyai tenaga untuk bersenam.

Kerana badan sudah bertenaga, anda boleh melakukan apa-apa jenis senaman yang diinginkan pada masa ini dari intensiti ringan hingga berat.

Ini termasuklah senaman untuk meningkatkan kekuatan dan jisim otot.

3) Bersenam selepas sahur

Selepas sahur, anda juga boleh melakukan senaman. Badan anda telah menerima tenaga daripada makanan yang diambil semasa bersahur.

Anda boleh melakukan senaman pada masa ini. Namun, sebaiknya senaman tersebut haruslah intensiti ringan.

Sukan selepas sahur baik untuk dilakukan bagi menjaga kecergasan badan sepanjang bulan Ramadan.

Namun sila ingat, anda perlu memastikan masih ada tenaga yang berbaki untuk melakukan aktiviti sepanjang hari sehingga tibanya waktu untuk berbuka puasa.

Oleh itu, jangan bersenam secara berlebihan selepas bersahur.