Ramai baru tahu maksud komen ‘type C’, siap pertikai Darsa Fried Chicken main elemen perkauman
Tindakan sebuah restoran makanan segera tempatan telah menimbulkan kontroversi dengan komen ‘type C’ yang mungkin mengundang padah apabila dituduh cuba bermain isu-isu perkauman.
Oleh itu, DarSA Fried Chicken atau DFC dengan rendah dirinya ingin memohon maaf secara terbuka melalui hantarannya di laman Facebook berkenaan dengan komen yang berkenaan.
Dalam entri tersebut, restoran yang terkenal dengan hidangan ayamnya menyatakan bahawa komen yang diberi adalah satu kesilapan tidak disengajakan.
Kejadian ini mungkin berpunca daripada kakitangan yang menguruskan media sosial DFC, yang mungkin terlalu terganggu dengan respons ketika menjawab terlalu banyak komen ‘menjatuhkan’ dari netizen.
“Kami memohon maaf dan mengakui ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan. Mungkin terlalu banyak komen yang berunsur menjatuhkan sedikit sebanyak menganggu fokus Admin kami.
“Kami mengalu-alukan semua pelanggan kami di pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama. Semoga Malaysia yang kita kasihi ini aman dan damai.
“Pihak pengurusan DarSA Fried Chicken sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi restoran pertama kami yang baru buka pada 29 April lalu,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Restoran juga telah membuat keputusan untuk tidak lagi memberi respons terhadap sebarang isu selepas ini, kecuali berkaitan dengan mengenai operasi harian, demi mengelakkan kesalahan yang sama berulang.
Untuk pengetahuan semua, perkataan ‘type C’ sering digunakan oleh beberapa individu tempatan, terutamanya di platform media sosial, untuk merujuk kepada bangsa Cina.
Isu ‘type C’ ini mula menjadi perhatian apabila ramai pengguna media sosial menyuarakan ketidakpuasan mereka di laman Facebook DFC berkenaan dengan harga yang agak mahal untuk menu-menu yang ditawarkan.
Pihak restoran juga menegaskan kepada pelanggan agar tidak terpengaruh oleh sentimen buruk yang mungkin dimainkan oleh individu yang dikenali sebagai ‘type C’, yang merujuk kepada orang Cina tempatan.
“Tuan tengok senarai harga ‘ala carte’ semata-mata atau keseluruhan? Kena tengok keseluruhan baru tahu mahal ke berpatatutan.
“Type C tengah cuba main bermacam sentimen buruk terhadap DarSA Fried Chicken. Kita jangan mudah terpedaya selagi tak datang cuba sendiri.” Tulis pihak restoran di ruangan komen di Facebook.
Komen tersebut telah menimbulkan kecaman dari orang ramai yang menganggap pengurus media terlibat kurang profesional dan mengeluarkan kenyataan yang mengandungi elemen perkauman.
Pengguna secara memberikan peringatan kepada pemilik perniagaan untuk mengelak daripada sikap yang bersifat perkauman.
Sebaliknya, mereka menggalakkan kedatangan pelanggan dari pelbagai latar belakang etnik dan agama.