Ramai tak tahu ada banyak kos tersembunyi bila beli rumah baharu, ini yang korang perlu tahu

Ramai tak tahu ada banyak kos tersembunyi bila beli rumah baharu, ini yang korang perlu tahu

 

MEMILIKI rumah sendiri merupakan impian semua orang dan pastinya hati melonjak teruja tatkala menerima kunci untuk melangkah masuk ke kediaman baharu, tetapi simpan dahulu keseronokan itu kerana anda perlu bersedia ke fasa seterusnya.

Ramai anak muda dan pembeli rumah pertama tidak sedar atau tahu wujudnya kos tersembunyi selepas menerima kunci daripada pihak pemaju.

Perunding Rekaan Hiasan Dalaman RHM Design And Construction Sdn. Bhd., Zaid Fikri Zaidi berkata, kesedaran mengenai kos tersembunyi itu dalam kalangan pembeli baharu terutamanya anak muda masih rendah.

“Mereka beranggapan tidak perlu mengeluarkan kos yang besar bagi pembelian perabot, lampu, pemasangan kabinet dapur dan pendawaian elektrik.

“Perlu diingat, pemaju hanya menyediakan rumah kosong dan pendawaian asas, maka mengisi kelengkapan kediaman itu bergantung sepenuhnya kepada pemilik kediaman.

“Disarankan kepada pembeli rumah baharu untuk menyimpan sebanyak 10 atau 20 peratus daripada harga rumah tersebut bagi menyempurnakan kediaman itu,” katanya kepada Relevan.

Jelasnya, secara anggaran kasar untuk kos pemasangan lampu, cat, kabinet dapur, pendawaian elektrik dan plaster siling adalah sekitar RM80,000.

Zaid Fikri turut berkongsi lima tip penting kepada pemilik muda sebagai persediaan mendiami rumah yang baharu dibeli.

1. Buat pemeriksaan kerosakan

Selepas mendapat kunci, anda dinasihatkan membuat pemeriksaan kerosakan terlebih dahulu. Boleh juga mendapatkan perkhidmatan profesional dalam kerja-kerja mengenal pasti kerosakan di rumah sebelum mendiaminya.

2 . Perancangan

Pemilik rumah perlu membuat perbincangan lebih awal dengan perunding rekaan hiasan dalaman berkaitan konsep dan perkara yang diperlukan bagi mengelakkan kos meningkat.

Pada masa sama, pemilik juga perlu merancang simpanan lebih awal untuk kos dekorasi dan pelbagai keperluan lain bagi menyediakan sebuah kediaman yang selesa.

3. Perincikan konsep dan ruang

Pemilik juga perlu memperincikan dengan perunding rekaan dalaman mengenai konsep dan ruang yang menjadi keutamaan seperti bilik tidur, dapur atau ruang tamu.

Menerusi perbincangan tersebut, konsultan rekaan hiasan dalaman akan memberi cadangan bajet yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan.

4. Jangan mudah terpedaya

Jangan terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan oleh konsultan rekaan hiasan dalaman.

Dapatkan sebut harga yang betul mengikut keperluan dan bajet anda.

5. Bersedia dengan perkara tidak dijangka

Anda juga perlu sentiasa bersedia dengan perkara-perkara yang tidak dijangka seperti terlebih bajet.

Oleh itu, perancangan rapi dapat mengelakkan kos yang tidak dijangka.