Ramai tak tahu sebenarnya ada baka durian yang lebih sedap dan murah daripada Musang King

Ramai tak tahu sebenarnya ada baka durian yang lebih sedap dan murah daripada Musang King

 

Durian Premium Kampung (DPK) Damak terus mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar raja buah sekali gus bakal mendominasi pasaran durian di Pahang pada musim ini yang dijangka gugur awal bulan depan.

Klon tempatan DPK seperti mas hijau, kulit buaya, naga emas, aji aziz dan beberapa hasil lain tanaman pekebun di Lembah Durian Kampung Damak mampu bersaing dengan musang king dari segi tekstur isi, aroma, rasa dan harga buah berkenaan.

Peraih durian Kampung Da­mak, Zulkifly Mahmud, 57, berkata, durian klon dan premium yang berbuah lebat musim ini seperti damak king, naga merah, mas hijau, musang king dan duri hitam yang dijangka gugur pada awal Jun ini akan memenuhi ge­rai-gerai jualan sekitar Damak.

“Musang king di sini yang gugur hujung bulan ini masih dijual pada harga RM68 sekilogram walaupun ada ura-ura mengatakan berlakunya penurunan harga di tempat lain.

“Setiap musim, musang king bersaing dengan DPK, tetapi mengikut rekod jualan sebelum ini DPK tidak kurang hebatnya kerana mendapat permintaan tinggi. Setakat ini ia sudah ditempah penggemar durian,” kata­nya ketika ditemui di Kampung Damak semalam.

DAMAK PENGELUAR DURIAN BAKA TERBAIK - SAHIH

Zulkifly berkata, musim ini damak king, naga merah dan mas hijau mengeluarkan hasil yang lebat dan harganya setanding musang king. Harga damak king ialah RM55, manakala naga me­rah dan mas hijau serendah RM35 bergantung kepada permintaan.

Sementara itu, peniaga durian, Ahmad Mustapha, 45, pula memberitahu, damak king dan duri ­hitam menjadi pilihan penggemar raja buah.

“Ia mampu menembusi pasaran negara lain jika hasil pengeluarannya banyak dan berkualiti.

“Ini kerana isi damak king lebih sedap dan aromanya me­ngujakan menjadi antara faktor ia berjaya menambat hati pelanggan sehingga mengatasi jualan musang king dan DPK jenis lain.

“Sehingga kini saya juga membuka tapak semaian dengan meng­usahakan cantuman tunas klon damak king, mas hijau dan black thorn memandang­kan pasaran cukup memberangsangkan akan datang,” ujarnya.