Ramai terkedu ruang dapur dijadikan bilik sewa dengan harga RM250, tak masuk akal

Ramai terkedu ruang dapur dijadikan bilik sewa dengan harga RM250, tak masuk akal

 

Isu mengenai ruang yang tak sepatutnya dijadikan bilik sewa sudah lama dibincangkan dalam kalangan netizen.

Sudahlah tidak munasabah, hal itu juga mencerminkan sifat tamak pemilik rumah yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.

Terbaharu, tular satu iklan bilik sewa di Ipoh, Perak yang memaparkan bahagian dapur yang telah diubah suai untuk dijadikan sebuah bilik.

Dapat dilihat menerusi gambar iklan itu, bilik sewa terbabit hanya disediakan sebuah katil single, kipas dinding dan dua singki.

Menerusi semakan di platform RoomGrabs, bilik kecil dan kelihatan sempit itu disewa pada harga RM250 termasuk dengan bayaran utiliti dan boleh mula dihuni bermula Ogos ini.

Katanya, penyewa juga dibenarkan untuk memasak, membasuh baju selain dilengkapi dengan air panas dan memaklumkan ia juga mempunyai kemudahan lain seperti kedai serbaneka, klinik dan macam-macam lagi.

Iklan sewa itu ternyata mendapat pelbagai reaksi netizen, rata-ratanya menyelar tindakan pemilik rumah yang sanggup mengubah suai rumah demi mengaut keuntungan berlipat ganda.

Screenshot 2023 08 11 175923 Screenshot 2023 08 11 180043

Walaupun ramai yang mengkritik tindakan menjadikan ruang dapur sebagai sebahagian bilik sewa, dilaporkan bilik terbabit telah pun disewakan.

Menurut Sin Chew Daily, ejen rumah mengesahkan ia memang ruang dapur yang diubah suai dengan ditambahkan sebuah katil kerana ada penyewa mempunyai bajet terhad dan hanya memerlukan kemudahan asas sahaja.

Sekadar info, individu yang mengubah suai rumah tanpa kelulusan bertulis daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh dikenakan saman.