Ramai terkejut bila tahu kos sebenar ayam dan telur

Ramai terkejut bila tahu kos sebenar ayam dan telur

Kos pengeluaran ayam pedaging secara di Malaysia ialah RM6.53 sekilogram, manakala purata kos pengeluaran sebiji telur ayam adalah 48 sen.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata harga sekilogram ayam di ladang jika mengambil kira lima peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran ayam, harga ayam di ladang direkodkan berada di antara julat RM6.86 hingga RM7.84.

“Sementara itu, margin keuntungan sekilogram ayam di peringkat borong merekodkan RM1.30, manakala, margin keuntungan sekilogram ayam di peringkat runcit mencatatkan RM1.25,” katanya menerusi kenyataan media Laporan Kajian Khas Kos Pengeluaran Ayam Dan Telur 2022 yang diterbitkan, hari ini.

Statistik yang dikeluarkan adalah berdasarkan kajian khas untuk bulan rujukan September 2022 dan dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tempoh September hingga Oktober 2022.

Mohd Uzir berkata, bagi telur ayam, purata kos pengeluaran sebiji telur ayam mencatatkan 48 sen, yang mana sekiranya mengambil kira lima peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluarannya, harga di ladang direkodkan berada di antara julat 50 sen hingga 58 sen sebiji.

“Margin keuntungan sebiji telur ayam di peringkat borong dan runcit pula masing-masing mencatatkan empat sen dan dua sen,” katanya.

Mohd Uzir menjelaskan, melalui dapatan kajian, didapati komposisi kos pengeluaran ayam pedaging meliputi 98.6 peratus kos langsung dan 1.4 peratus kos tidak langsung.

Katanya, antara komponen terbesar dalam kos pengeluaran ayam pedaging ini ialah makanan ternakan (65.1 peratus) dan kos pembelian ‘day-old chick’ (16 peratus).

“Kos pengeluaran telur ayam pula merangkumi 96.9 peratus kos langsung dan 3.1 peratus kos tidak langsung di mana 76.2 peratus daripadanya membabitkan kos makanan ternakan ayam dan 15.8 peratus adalah kos utiliti serta gaji dan upah.

“Kos pembelian ‘day-old chick’ meliputi 2.2 peratus daripada jumlah kos pengeluaran telur,” katanya.

Beliau menambah, kos makanan ternakan juga berbeza mengikut jenis, yang mana bagi ayam pedaging, purata kos makanan ternakan jenis ‘Starter’ ialah RM132.04 bagi setiap 50 kilogram.

Manakala, katanya purata kos makanan ternakan ayam pedaging bagi jenis ‘Grower’ dan ‘Finisher’ masing-masing mencatatkan RM129.71 bagi setiap 50 kilogram dan RM126.96 bagi 50 kilogram.

“Makanan ternakan ayam jenis ‘Starter’ lazimnya lebih mahal disebabkan oleh kandungan nutrien yang lebih tinggi dan kesesusaiannya untuk tumbesaran anak ayam,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata bagi ayam penelur, purata kos makanan ternakan bagi jenis ‘Starter’ ialah RM131.57 bagi setiap 50 kilogram.

Katanya, purata kos makanan ternakan bagi jenis ‘Grower’ dan ‘Layer’ masing-masing adalah RM117.08 bagi setiap 50 kilogram dan RM115.10 bagi setiap 50 kilogram.

“Selain itu, semasa kajian, harga belian bagi seekor ‘day-old chick’ (pedaging) di Malaysia secara purata merekodkan RM2.12 dan RM3.32 bagi seekor ‘day-old chick’ (penelur).

“Harga anak ayam ini kebiasaannya akan berubah bergantung kepada pasaran semasa,” katanya.