Ramai yang kagum, wanita ini jadi rider GrabFood dengan berkerusi roda

Ramai yang kagum, wanita ini jadi rider GrabFood dengan berkerusi roda

Baru-baru ini tular sebuah perkongsian oleh seorang lelaki ini, Shahril Jantan melalui laman sosial Facebook menceritakan pengalamannya bertemu dengan seorang peghantar GrabFood yang memberikan inspirasi kepada orang ramai.

Apa yang menarik perhatian netizen, peghantar GrabFood dari Singapura ini seorang OKU (Orang Kelainan Upaya) dan sanggup meredah sejauh 7 kilometer dengan kerusi roda demi menjalankan tugasnya.

Beliau yang dikenali sebagai Sumaiyah Ghazali, 40 tahun, sanggup meredah terik mentari dan kedinginan hujan semata-mata mahu memastikan makanan tiba ke pintu rumah pelanggan. Namun, tidak seperti pekerja lain yang ‘berlari’ menepati masa menghantar makanan.

Walaupun menghidapi palsi serebrum dan tidak mampu berjalan sejak lahir, kekurangan fizikal tidak menjadi penghalang untuk beliau berdikari dan dapat menyumbang tenaga kepada masyarakat.

“Saya cuma tidak boleh berjalan, tapi kalau ada kerusi roda ini… umpama kaki saya. Sekurang-kurangnya saya boleh bergerak, boleh kerja.”

“Kalau saya tak kerja, adik saya sahaja kerja, saya rasa macam diri saya tak guna.”

Sumaiyah, yang bertugas sebagai penghantar GrabFood sejak empat bulan lalu pernah bertugas di pejabat dalam bidang pentadbiran, namun jarinya yang lemah membuatkan kegiatan menaip menjadi sukar.

Rider Grab Berkerusi Roda

Sebagai seorang penghantar makanan, Sumaiyah juga tidak lari dengan cabaran seperti memastikan makanan dihantar cepat dan tepat pada waktunya.

Selain bergerak dengan kerusi roda, Sumaiyah turut menaiki pengangkutan awam bagi tempat jauh seperti di luar kawasan kediamannya di Tampines. Pernah menerima aduan kerana menghantar makanan lambat, namun pelanggan akan menjadi lembut hati melihat keadaannya apabila tiba di destinasi.

Beliau juga memastikan untuk memberitahu pelanggan mengenai keadaannya bagi mengelak salah faham.

“Saya rasa ada juga kegunaan saya hantar makanan kepada orang, maknanya khidmat saya berguna kepada masyarakat. Jangan hanya duduk menganggur, tak lakukan apa-apa.”