Ramai yang tak tahu nikah di Siam lagi banyak pahit dari manisnya
Walaupun tanpa letusan bunga api yang berwarna-warni tahun ini sempena ambang tahun baharu 2023, kehangatannya tetap dapat dirasai menerusi isu-isu panas yang terpampang di dada-dada akhbar dan platform-platform media sosial.
Sudah pasti majoriti rakyat Malaysia tahu tentang berita perkahwinan kedua seorang pengarah dan pelakon terkemuka tanah air di Thailand baru-baru ini sehingga menyebabkan para isteri semakin berjaga-jaga dengan tingkah laku suami.
Semakan di iklan-iklan yang menawarkan khidmat perkahwinan di Thailand mendapati, pasangan yang ingin berkahwin hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan antara RM2,300 hingga RM2,500 untuk pakej lengkap beserta makanan dan penginapan dua hari satu malam.
Tidak hairanlah ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang memilih untuk berkahwin di sana dengan kos yang lebih murah, proses yang lebih mudah dan kelulusan yang lebih pantas berbanding di Malaysia.
Namun, tidak ramai yang ingin menyingkap atau mengambil tahu tentang sisi gelap perkahwinan di Thailand selepas dibutakan dengan keindahan mudahnya berkahwin di negara Gajah Putih itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sungguhpun perkahwinan itu sah di sisi agama, ia tetap tidak diiktiraf di sisi perundangan negara selagi tidak didaftarkan semula di Malaysia.
“Banyak implikasinya kelak jika tidak daftarkan pernikahan itu, seperti kemungkinan perkahwinan tersebut tidak sah dan jika tidak sah akan beri implikasi pada anak pula, anak yang lahir itu bagaimana statusnya?
“Bagaimana pula sekiranya terjadi perkara tidak diingini dalam perkahwinan seperti penderaan dan tidak beri nafkah? Si isteri dan anak itu akan tiada ruang untuk membuat sebarang tuntutan nafkah, failkan cerai dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jelas beliau, perkara-perkara itu tidak boleh dituntut oleh si isteri dan anak sekiranya perkahwinan tersebut tidak didaftarkan di Malaysia kerana dari segi undang-undang, pasangan tersebut tidak pernah berkahwin.
“Lebih teruk apabila si anak kelak tidak boleh didaftarkan kelahirannya kerana badan kuasa yang ada autoriti untuk keluarkan perintah pendaftaran adalah mahkamah syariah, jika tidak daftarkan perkahwinan itu maknanya perintah pendaftaran tidak boleh dikeluarkan.
“Jika perintah pendaftaran tidak boleh dikeluarkan, pejabat agama pula tidak boleh keluarkan sijil nikah, seterusnya tidak boleh didaftarkan kelahiran anak itu di Jabatan Pendaftaran Negara,” jelas beliau.
Mohd. Na’im memaklumkan, perkahwinan di Thailand yang tidak didaftarkan semula turut memberikan risiko dalam isu berkaitan pemilikan harta, isu berkaitan locus untuk membuat tindakan di Mahkamah Syariah termasuklah pewarisan atau faraid selain jelas melakukan pelanggaran undang-undang yang boleh didakwa juga dihukum.
“Nasihat saya, patuhilah undang-undang yang telah digubal dan ia bukan untuk menyusahkan, sebaliknya mahkamah mahu lihat keadilan bukan sahaja kepada suami, namun juga kepada isteri sedia ada, bakal isteri, wali dan keluarga,” katanya.
Perkahwinan umumnya merupakan hari bahagia meraikan cinta antara kedua-dua mempelai, jadi berusahalah lebih sedikit bagi memastikan ia dibuat berlandaskan hukum syarak dan tidak menyalahi undang-undang sedia ada agar ikatan yang dibina mendapat keberkatan.