Rampas Selangor: Pas harus cermin diri dan lebih baik tumpu isu Islam di bawah PN

Rampas Selangor: Pas harus cermin diri dan lebih baik tumpu isu Islam di bawah PN

1. Saya mengambil maklum mengenai satu laporan media bertarikh 30 Disember 2020 yang menyebut bahawa PAS perlukan sokongan rakan politik untuk rampas Selangor.

2. Saya menganggap bahawa kenyataan tersebut merupakan suatu yang bersifat angan-angan Mat Jenin dan melihatkan bahawa PAS dan Muafakat Nasional (‘MN’) hanya mempunyai 6 daripada 56 kerusi sahaja di dalam Dewan Negeri Selangor selain berhadapan dengan tekanan politik daripada Perikatan Nasional yang diterajui Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

3. Saya ingin menegaskan bahawa kemenangan lebih besar Pakatan Harapan (PH) di Selangor pada PRU14 yang lalu adalah hasil daripada kesepaduan utuh parti-parti komponen dan juga kempen tolak perkauman dan anti radikal agama sempit yang jelas diterima oleh rakyat Selangor.

4. Saya selanjutnya menekankan bahawa sokongan rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor semakin meningkat berikutan keberkesanan Kerajaan Negeri menyelesaikan isu-isu domestik termasuk isu bekalan air dan perobohan kilang haram di samping kejayaan menangani kebajikan rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19.

5. PAS sendiri harus menginsafi bahawa rakyat Selangor jelas kecewa apabila mereka telah membelakangkan Pakatan Rakyat (‘PR’) dan menjadi punca perpecahan PR. Rentetan daripada itu, rakyat Selangor telah menzahirkan tindakan dengan menghukum PAS dalam PRU14 sehingga mereka hanya mampu mempertahankan kerusi DN Sijangkang sahaja selain beberapa kawasan telah kehilangan wang pertaruhan.

6. Saya turut ingin mencabar PAS, MN dan Perikatan Nasional (‘PN’) supaya menamakan calon Menteri Besar Selangor dalam PRU15 akan datang sebagai menunjukkan kesungguhan dan kesepakatan gabungan politik MN serta PN di Selangor.

7. Akhirnya saya menasihati PAS agar cermin diri dan memberikan tumpuan terhadap isu Islam yang masih belum terjawab seperti penganjuran ratu cantik, RUU355, Kes Allahyarham Adib, majlis perkahwinan di kuil, kartel daging haram dan pertambahan cabutan khas nombor 4 digit daripada sibuk mengganggu kestabilan Kerajaan Negeri Selangor.

-WAN ANWAR BIN WAN IBRAHIM-
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara
Negeri Selangor.

31 Disember 2020M / 16 Jamadil Awwal 1442H

Sumber: https://www.facebook.com/751639681618502/posts/3588786304570478/?d=n