Rasmi mesin ATM di stesen pam minyak, tindakan terdesak MP Besut undang ketawa wargamaya
Anggota parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh pada Jumaat melancarkan sebuah mesin pengeluaran wang ATM di kawasan parlimennya.
Memetik Malaysiakini, mesin itu diletakkan di sebuah stesen minyak di kawasan parlimen di Terengganu itu bagi memudahkan penduduk setempat.
Katanya, penduduk Hulu Besut selama ini terpaksa pergi ke bandar Jerteh yang agak jauh untuk mengeluarkan wang.
“Semoga kemudahan ATM dapat membantu penduduk dan merancakkan lagi ekonomi di Hulu,” kata wakil rakyat PAS itu di Facebook.
Jarak dari Hulu Besut ke Jerteh kira-kira 35km atau 40 minit perjalanan.
Sementara itu, lain diharap lain pula yang dapat.
Acara itu menjadi perbincangan dan gelak ketawa sebahagian pengguna maya yang pelik dengan keadaan yang jarang-jarang berlaku itu.
Mereka berpendapat perkara itu aneh kerana mesin ATM sudah digunakan secara berleluasa di seluruh Malaysia, tidak seperti di era 90-an.
“Seriuslah, mesin ATM pon rasmi potong reben.
“Kita di zaman bila ni weh?” tulis seorang pengguna maya, seperti dilaporkan sebuah portal berita yang dikaitkan dengan Amanah.
Penggfuna maya juga menyindir acara itu yang kelihatan ‘bersungguh-sungguh’, siap dengan acara perasmian melalui pemotongan reben.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Mohamad Zulkifly.