Rasuah seks : Salah laku penjawat awam terus dibongkar

Rasuah seks : Salah laku penjawat awam terus dibongkar

Penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita, semalam.

Lelaki berusia 51 tahun yang bertugas di Keningau itu ditahan SPRM pada 3.30 petang di sebuah hotel di daerah berkenaan.

Sumber berkata, perkhidmatan seks berkenaan ialah sebagai suapan bagi lelaki terbabit memberikan sokongan kepada wanita itu mendapatkan pinjaman pertanian.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

Menurutnya, suspek ditahan untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga menjelaskan bahawa tafsiran suapan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM 2009 meliputi pelbagai perkara termasuk pinjaman, jawatan, perkhidmatan termasuk perkhidmatan seks. – HM