Razman dakwa pembangkang dilarang hantar kek Hari Guru di sekolah

Razman dakwa pembangkang dilarang hantar kek Hari Guru di sekolah

 

PAS mendakwa Kementerian Pendidikan cuba menyekat pembangkang daripada meraikan kaum pendidik sempena Hari Guru semalam.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata terdapat anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka yang tidak dapat menghantar kek sebagai tanda penghargaan kepada guru di sekolah di kawasan masing-masing.

Katanya, alasan diberikan bagi menghormati government of the day (kerajaan yang memerintah hari ini).

“Ini adalah satu perkara yang memalukan,” kata Razman.

Dalam kenyataan hari ini, dia berkata larangan sebegitu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Razman juga berkata terdapat bukti tangkap layar mesej yang didakwa mengandungi arahan tersebut.

Dia justeru meminta kementerian memberikan penjelasan.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahan dakwaan tersebut dan sedang cuba mendapatkan penjelasan kementerian.

Semalam, Naib Presiden PAS Idris Ahmad turut melontarkan dakwaan sama di media sosialnya.

“Selamat Hari Guru. Ucap dalam Facebook sahaja. Hendak jumpa dan hantar kek tidak boleh.

“Dilarang keras. Madani ala Badwi,” ujarnya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Kedua-dua Razman dan Idris tidak memberikan butiran lanjut terhadap dakwaan mereka.